Pelajar Kolej Vokasional Keningau Bentang Projek Pada Persidangan Di Jerman Secara Maya

Mohd Sazali Jirin

KENINGAU, 21 Mei: Meskipun hanya berada di rumah ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ia tidak menghalang seorang pelajar Kolej Vokasional Keningau (KVK), di sini, membentangkan projek akhir tahunannya pada persidangan antarabangsa di Jerman.

Mohd Sazali Jirin, 20, membentangkan projek bertajuk ‘memudahkan proses pemotongan besi melalui alat ciptaan khas’ itu selama hampir 10 minit pada persidangan antarabangsa dalam penyelidikan sains dan teknologi JGH Hauptbahnhof, Berlin, Jerman secara maya melalui aplikasi Zoom pada 15 Mei lepas.

“Dalam tempoh (10 minit) itu, saya memulakan (pembentangan) dengan memperkenalkan alat-alat (berkaitan proses pemotongan besi) dan fungsinya serta respon daripada pengguna terdiri daripada tenaga pengajar dan pelajar KVK (daripada) program Teknologi Kimpalan,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Mohd Sazali berkata ini adalah kali pertama beliau membentangkan projek ciptaannya di luar negara dan tempoh pembentangan yang diberikan, digunakan sebaiknya bagi menerangkan fungsi alat tersebut.

Pelajar Diploma Teknologi Kimpalan itu berkata beliau memilih mencipta alat berkenaan kerana ia dilihat mampu meringankan kerja-kerja pemotongan besi, ukuran lebih tepat dan memastikan postur badan berada dalam kedudukan selesa semasa menggunakannya.

Mohd Sazali berkata dengan kos kurang daripada RM200, beliau berharap hasil inovasi berkenaan boleh diguna pakai oleh semua bengkel kimpalan KVK.

Sementara itu, Pengarah KVK Johari Jaibet Sabin berkata, projek Mohd Sazali itu akan diterbitkan dalam jurnal antarabangsa. 

Beliau berkata KVK yang aktif menyertai persidangan penyelidikan sama ada di dalam mahupun di luar negara turut mengubah strategi dengan menyertai persidangan antarabangsa secara maya.

Katanya, sebelum ini tenaga pengajar dan pelajar KVK pernah membentangkan kajian mereka di Britain, Perancis, Itali, Australia, Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei.

“KVK sentiasa memberi dorongan kepada para guru dan pelajar kolej ini untuk menyertai persidangan akademik yang boleh membantu membuka sekali gus memajukan pemikiran,” katanya.BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *