Pelajar IPT Tunggu Giliran Pulang Sabah Disahkan Positif Covid-19

KOTA KINABALU: Beberapa kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan pelajar insitut pengajian tinggi (IPT) yang sedang menunggu giliran untuk pulang ke Sabah.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, perkara itu dimaklumkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Dengan itu, pihak JKNS akan memastikan kontak rapat kes-kes ini yang telah balik ke Sabah akan diuruskan dengan teratur.

Katanya, pelajar-pelajar IPT ini dibawa pulang ke Sabah menerusi kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan kerajaan Sabah melalui ‘Program Jom Balik’ pelajar IPT.

“JKNS berterima kasih atas usaha memastikan ini dilaksanakan dengan penuh cermat dan efisien. Antara usaha yang dilakukan adalah memastikan semua pelajar Sabah menjalani persampelan ujian Covid-19 sebelum dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga tercinta.

“Usaha ini ibarat “sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk” kerana berganding bahu dengan pihak JKNS dalam membendung penularan jangkitan Covid-19 dari luar negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Semalam, Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob memaklumkan sebanyak empat penerbangan khas membawa pulang pelajar IPT dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak pulang ke Sabah dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) semalam dan empat lagi penerbangan dijadualkan tiba pada hari ini (21 Mei).

Beliau berkata, keseluruhan lapan penerbangan yang membawa 1,933 orang pelajar itu merupakan penerbangan terakhir sebelum Hari Raya Aidilfitri. Penerbangan membawa pulang pelajar IPT akan disambung semula pada 27 Mei hingga 5 Jun.

Katanya, pelajar yang tiba itu antara 6,744 orang yang masih berada di kampus masing-masing dimana, 5,547 orang dari Semenanjung Malaysia dan 1,197 orang dari Sarawak. Keseluruhan pelajar Sabah yang berada di Semenanjung Malaysia dan Sarawak adalah seramai 11,000 orang. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *