Kes Baharu Covid-19 Sabah Libatkan Kanak-Kanak Pulang Dari KL

Kes Baharu Covid-19 Sabah Libatkan Kanak-Kanak Pulang Dari KL – Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Kes baharu Covid-19 yang dilaporkan di Sabah semalam melibatkan seorang kanak-kanak yang baharu pulang bersama keluarganya ke Sabah dari Kuala Lumpur.

Kanak-kanak ini antara penumpang yang menaiki pesawat komersil dari Kuala Lumpur yang pulang ke Kota Kinabalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, kes ini telah ditempatkan di Pusat Kuarantin setibanya mereka sekeluarga di Kota Kinabalu.

Kemudian, semalam kanak-kanak ini dimasukkan ke wad Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas untuk rawatan selanjutnya.

Beliau berkata, kes baharu yang dilaporkan semalam ini juga merupakan kes import iaitu kes yang dibawa masuk dari luar negeri Sabah.

“Penambahan satu kes baharu ini merupakan kes import kerana telah dikesan melalui sampel yang diambil di Pintu Masuk Antarabangsa Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Sehingga semalam, sebanyak 338 kes dilaporkan di Sabah dengan 30 kes aktif dan lima kes kematian direkodkan.

Katanya, setakat 19 Mei sejumlah 69,217 ujian Covid-19 telah dijalankan di Sabah. Ujian makmal yang telah dijalankan pada 19 Mei adalah sejumlah 1,093. Daripada jumlah ini, dua sampel adalah positif di mana satu merupakan sampel kes baharu dan satu sampel ulangan.

Setakat ini, seramai 8,524 orang sedang menjalani perintah Home Quarantine dan seramai 3,076 orang sedang menjalani kuarantin di 52 buah Pusat Kuarantin di seluruh Sabah.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *