Perkhidmatan Bot Penumpang Labuan-Menumbok Beroperasi Semula

LABUAN: Perkhidmatan bot penumpang dari Labuan ke tanah besar Menumbok, Sabah dan sebaliknya yang digantung sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac, telah beroperasi semula hari ini, namun hanya terhad kepada bot berjadual.

Tinjauan Bernama di Terminal Feri Antarabangsa Labuan pagi tadi mendapati beberapa penumpang menaiki bot yang mempunyai 36 dan 40 tempat duduk dengan garis panduan amalan penjarakan sosial ke Menumbok.

Ketua Pegawai Operasi syarikat pengurusan terminal itu LDA Holdings Sdn Bhd, Eddy Herman, berkata langkah meneruskan semula perkhidmatan tersebut diluluskan Jabatan Marin di Labuan serta Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah.

Beliau berkata destinasi yang diluluskan hanyalah Labuan-Menumbok-Labuan manakala destinasi lain seperti Sipitang, Sabah dan Limbang, Sarawak belum boleh beroperasi.

“Ketika ini, bot lebih besar yang telah diberikan jadual dibenarkan beroperasi manakala perkhidmatan bagi bot laju penumpang dengan muatan 14 orang masih belum dibenarkan beroperasi,” katanya kepada Bernama.

Eddy berkata arahan telah dikeluarkan kepada pengusaha bot untuk hanya mengangkut penumpang dan mematuhi prosedur operasi standard Kementerian Kesihatan berhubung pengangkutan laut.

“Semua penumpang dikehendaki menjalani tapisan kesihatan di terminal feri Labuan dan juga sejurus tiba di jeti Menumbok,” katanya.

Sabah, pada 9 Mei telah mengumumkan bahawa ia membenarkan perniagaan runcit, makanan, pengangkutan awam dan taman awam dibuka semula ketika ia melonggarkan sekatan ke atas aktiviti ekonomi di bawah fasa kelima PKP.

Semua jenis perkhidmatan pengangkutan awam, laut dan logistik turut dibenarkan beroperasi semula termasuk bas, e-hailing, jeti awam dan swasta, feri, bot untuk disewa serta perkhidmatan sokongan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *