Masih Ada Cubaan Culik Di Kawasan EssZone Sabah

Kumpulan penculik untuk wang tebusan (KFR) dikesan masih cuba untuk melakukan jenayah di kawasan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE).

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Hazani Ghazali berkata, wujud ancaman membabitkan kegiatan jenayah rentas sempadan seperti culik, rompak dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Hazani Ghazali

“Memang maklumat (kumpulan KFR) itu tidak pernah putus…maklumat untuk mereka melakukan KFR memang ada dan cubaan itu selalu ada.

“Bulan ini, kita dapat kesan satu cubaan kumpulan KFR. Tetapi pasukan keselamatan sedang melakukan Op Benteng untuk mengawal dan mengekang sebarang kegiatan jenayah termasuk kemasukan warga asing secara haram,” katanya dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sama ada kumpulan KFR masih cuba menceroboh ke kawasan ESSZONE untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan.

Semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass pada kenyataan memaklumkan, perintah berkurung di ESSZONE dilanjut selama 14 hari hingga 4 Jun ini.

Hazani berkata, sejak penularan Covid-19, negara-negara jiran melaksanakan perintah kawalan pergerakan dan hasil maklumat mendapati, pergerakan kumpulan terbabit juga terbatas.

“Cubaan untuk melakukan jenayah rentas sempadan ini masih ada termasuklah KFR, rompakan di laut dan seludup warga asing secara haram.

“Bagaimanapun, pergerakan kumpulan ini terbatas kerana negara mereka juga melakukan perintah berkurung dan kawalan pergerakan,” katanya.

Sementara itu, Hazani berkata, pihaknya akan terus meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan sepanjang Aidilfitri lebih-lebih lagi dengan pelancaran Op Benteng.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, pasukan keselamatan sudah mengetatkan kawalan di sempadan negara.

“Kita tahu ramai yang balik beraya dan selepas itu akan masuk balik ke sini dan penjenayah akan mengambil kesempatan,” katanya.- HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *