Kuarantin Kakitangan Hospital Tuaran Prosedur Biasa

Tular maklumat dimuat naik ke laman sosial menyatakan seramai 22 kakitangan Hospital Tuaran dikuarantin dikatakan berpunca daripada seorang penduduk dijangkiti Covid-19.

TUARAN: Hospital Tuaran menafikan maklumat yang tular sejak pagi ini yang mendakwa 22 kakitangannya dikuarantin selepas seorang penduduk sekitar daerah ini disahkan positif Covid-19.

Malah, perkhidmatan Hospital Tuaran serta klinik daerah turut didakwa disekat.

Pengarah Hospital Tuaran Dr G Mohan berkata, semalam, laman Facebook (FB) Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung memuat naik laporan pertambahan pesakit Covid-19 dari Tenghilan di daerah ini.

“Bagaimanapun, kuarantin 22 kakitangan hospital ini di Pusat Kuarantin INTAN Kampus Sabah, Tuaran adalah prosedur biasa sebagai petugas barisan hadapan, tidak semestinya mereka mempunyai kaitan dengan pesakit berkenaan.

“Operasi Hospital Tuaran dan klinik-klinik daerah juga masih berjalan lancar. Bagaimanapun, di hospital, kita utamakan perkhidmatan kecemasan sahaja untuk mengekalkan penjarakan sosial,” katanya.

Menurutnya, masyarakat Tuaran masih dibenarkan ke mana-mana klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.

“Kakitangan hospital yang dikuarantin ini adalah sebahagian daripada langkah pencegahan.

“Mereka akan kembali bekerja selepas keputusan saringan diterima mendapati mereka sihat,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Mohan menasihati orang ramai supaya mendapatkan pengesahan berkaitan kes seperti itu sebelum menularkannya. – HMEtro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *