Gajah Musnahkan 7,584 Pokok Sawit Peneroka Felda Sahabat

LAHAD DATU, 19 Mei: Kumpulan gajah yang dilaporkan menceroboh ladang peneroka di Felda Sahabat 2, Tungku dekat sini sejak minggu lepas memusnahkan kira-kira 7,584 pokok kelapa sawit yang diusahakan peneroka di tanah rancangan itu.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah di Lahad Datu, Silvester Saimin berkata perkara itu dimaklumkan sendiri oleh pengurus ladang di kawasan itu dengan jumlah kerugian mencecah RM700,000.

“Kerosakan dijangka meningkat jika tidak ditangani, dan sebab itu usaha mengusir gajah yang dilihat dalam 60 ekor ini (perlu dilakukan) supaya (mereka) keluar daripada ladang Felda ini

Terdapat tiga kumpulan gajah iaitu Kumpulan Pelita, Cenderawasih serta Tungku yang habitatnya di Hutan Rizab Hidupan Liar Tabin, berada di dalam ladang peneroka ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Menurut Silvister, gajah pigmi Borneo yang menggemari kawasan ladang itu cenderung mencerobohinya kerana laluannya dekat iaitu 10 kilometer dari Hutan Rizab Hidupan Liar Tabin, selain didorong sumber makanan yang boleh diperoleh daripada aktiviti pertanian di ladang itu.

“Antara aktiviti pertanian itu ialah penanaman semula kelapa sawit di kebanyakan ladang, aktiviti mencincang batang kelapa sawit tua termasuk penanaman tanaman kontan

Di sepanjang laluan itu, terdapat banyak ladang dan dipengaruhi faktor aktiviti di ladang itulah tiga kumpulan gajah ini menceroboh sehingga ke ladang Felda Sahabat,” katanya.

Beliau dalam pada itu berharap melalui penugasan lapan anggota JHL dengan kerjasama peneroka dapat menghalau gajah-gajah berkenaan keluar dari ladang dan kembali ke habitat asal.

Ketika ini, katanya gajah berkenaan didapati menceroboh ladang Felda itu hanya pada waktu malam, untuk mencari makanan manakala ketika siang berada di kawasan ladang lain.

“Ini mungkin dipengaruhi keadaan cuaca yang panas dan haiwan ini mencari kawasan perlindungan di ladang yang mempunyai pokok kelapa sawit yang lebih tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, JHL  meminta setiap pemilik ladang melaporkan aktiviti di ladang bagi memudahkan petugas memantau pencerobohan gajah ke ladang mereka.

Selain itu, JHL turut mengadakan sesi taklimat dan tunjuk ajar kepada para peneroka untuk bertindak dengan berkesan dalam usaha pengusiran gajah dari kawasan itu.

“Antara memasang lampu biru, serta pagar elektrik, selain membuat bunyi bising menggunakan bunyi jentera untuk menghalau gajah ini,” katanya.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *