Sabah Belum Benarkan Orang Awam Ke Masjid, Surau

Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar

KOTA KINABALU: Majlis Fatwa Sabah membenarkan aktiviti solat berjemaah dan sembahyang Jumaat diadakan di masjid serta surau terpilih, berkuat kuasa mulai Jumaat ini.

Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, berkata kebenaran untuk solat berjemaah itu bagaimanapun hanya untuk ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau berkenaan, selain tidak membabitkan sembahyang sunat Aidilfitri tahun ini.

Beliau berkata, perkara itu ditetapkan dengan merujuk keputusan Muzakarah Khas Majlis Fatwa Sabah bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) pada 11 Mei lalu.

“Kebenaran untuk solat berjemaah itu hanya diberikan kepada AJK masjid dan surau dengan bilangan ahli jemaah tidak melebihi empat orang.

“Kebenaran ini termasuklah mendirikan solat sunat tarawih tetapi digalakkan lapan rakaat sahaja dan selebihnya dilaksanakan di rumah masing-masing.

“Kebenaran mendirikan solat Jumaat pula hanya membabitkan AJK masjid dengan bilangan jemaah tidak kurang tiga orang dan tidak lebih 12 orang, termasuk imam dan khatib,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Namun, Bungsu menegaskan, warga emas dan golongan bergejala tidak dibenarkan ke surau atau masjid, selain ahli jemaah diminta mengamalkan langkah keselamatan disarankan kerajaan.

“AJK masjid dan surau yang berusia lebih 70 tahun tidak dibenarkan hadir untuk solat berjemaah. Mereka yang mempunyai gejala sakit seperti demam, batuk dan sebagainya juga tidak dibenarkan hadir,” katanya.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata, keputusan kebenaran solat berjemaah itu tidak membabitkan solat sunat Aidilfitri tahun ini, dengan semua anggota kariah dinasihat agar mendirikannya di rumah masing-masing.

“Takbir Hari Raya pula hanya dibenarkan pada malam raya di masjid dan surau dengan kadar memadai oleh bilangan jemaah ditetapkan, iaitu empat orang dalam kalangan AJK masjid atau surau,” katanya.

Beliau berkata, masjid dibenar menggunakan pembesar suara ketika bacaan teks khutbah dan takbir Hari Raya.

Katanya, orang awam masih belum dibenarkan hadir ke masjid dan surau, sekali gus diminta mematuhi nasihat serta saranan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *