‘Biar Kami Habiskan Sisa Usia Di Pondok Usang Ini’

Pasangan suami isteri warga emas yang tinggal di pondok buruk mereka di Jalan Damai, sejak empat tahun lalu. – NSTP/Abdul Rahemang Taiming

TAWAU: Akibat kesempitan hidup, pasangan warga emas terpaksa tinggal di kawasan tempat pembuangan sampah di Jalan Damai dekat sini, sejak empat tahun lalu.

Lebih menyedihkan, pondok buruk dibina Amil Bala, 70-an, bersama Isterinya Jurrah Abdul Halim, 62, hanya menggunakan kayu dan papan lapis terbuang, selain atap zink yang sudah bocor.

Tidak ada pilihan lain kerana tidak mempunyai punca pendapatan, pasangan itu hanya mengharapkan ihsan dan bantuan orang ramai demi kelangsungan hidup.

Jurrah berkata, pondok itu juga atas ihsan dan kebenaran pemilik tanah tanah selepas mereka terpaksa keluar dari rumah sewa kerana tidak lagi mampu membayar sewa.

“Sebelum ini, suami bekerja di ladang kelapa sawit di Lahad Datu pada 2000 namun terpaksa berhenti kerana masalah kesihatan dan penyakit asma.

“Sejak itu, kami terpaksa berpindah randah sehinggalah kami sampai di sini pada Jun 2016,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Walaupun terpaksa menempuh situasi sukar, pasangan warga emas yang tidak dikurniakan zuriat itu mengakui selesa tinggal di sebalik rimbunan semak dan pokok pisang di sekeliling pondok yang hanya menunggu masa untuk roboh.

“Jika diberi pilihan, biarlah kami menghabiskan sisa usia di sini kerana tidak mahu menyusahkan orang lain,” katanya.- BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *