Usaha Bawa Pulang Pelajar Sabah Bukan Dibatalkan – Yusof

KOTA KINABALU: Penerbangan sewa khas membawa pelajar institut pengajian tinggi (IPT) di Semenanjung Malaysia pulang ke Sabah hanya ditunda sementara dan bukannya dibatalkan.

Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, penerbangan sewa khas melibatkan 6,796 orang pelajar itu terpaksa ditangguhkan sementara bagi membolehkan penempatan pelajar di pusat-pusat kuarantin dapat dilakukan dengan lebih terancang.

Beliau berkata, semua pelajar IPT yang tiba di Sabah perlu ditempatkan di Pusat Kuarantin sehingga keputusan ujian swab Covid-19 mereka diperolehi.

Katanya, sekiranya keputusan adalah negatif, maka baki tempoh kuarantin akan dijalankan di rumah masing-masing, tertakluk kepada kesesuaian infrastruktur rumah dengan mengambil kira faktor kesesakan dan risiko jangkitan kepada penghuni yang lain.

“Prosedur operasi standard (SOP) ini diwajibkan ekoran terdapatnya kes pelajar sebuah IPT yang dibenarkan pulang ke rumah dan menjalani home quarantine telah disahkan positif Covid-19. Keadaan ini mengakibatkan keluarga pelajar turut ditempatkan di pusat kuarantin,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Disebabkan keperluan itu, dijangka akan berlaku kesesakan di Pusat- Pusat Kuarantin yang disediakan oleh kerajaan. Pusat Kuarantin yang sedia ada tidak dapat menampung jumlah pelajar dan orang awam yang sangat ramai dalam satu- satu masa.

“Kerajaan negeri berusaha untuk mengelak daripada menempatkan pelajar di tempat yang tidak selesa.

“Ketua Menteri dan Kerajaan negeri amat memahami perasaan pelajar dan prihatin dengan hasrat pelajar yang ingin pulang ke kampung masing-masing lebih-lebih lagi pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan.

“Kerajaan negeri melalui Kementerian Pelajaran dan Inovasi telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Pengajian Tinggi tentang perancangan membawa balik para pelajar dengan seberapa segera iaitu sebelum perayaan bermula sehinggakan Kerajaan negeri turut bersetuju untuk membiayai separuh kos penerbangan pelajar.

“Namun disebabkan kekangan yang berkaku, maka penerbangan terpaksa ditunda sementara,” jelasnya.

Yusof berkata, memandangkan masa agak suntuk dan sekiranya perjalanan diteruskan, besar kemungkinan pelajar akan menyambut Hari Raya di Pusat Kuarantin.

Katanya, adalah lebih baik, pelajar meraikan Hari Raya bersama rakan-rakan di kampus dalam keadaan yang lebih selesa.

Mengulas lanjut, beliau menasihatkan pelajar untuk merujuk kepada IPT masing-masing bagi mendapatkan jadual kuliah yang terkini.

“Sekiranya tarikh kuliah bermula dalam tempoh terdekat ini, adalah dinasihatkan agar pelajar terus kekal berada di kampus masing-masing bagi mengelakkan masalah untuk kembali ke kampus nanti.

“Keutamaan akan diberikan kepada mereka yang akan menjalani latihan industri (praktikal) di Sabah.

“Untuk makluman, kos penerbangan balik ke Semenanjung Malaysia dan Sarawak tidak akan ditanggung kerajaan,” ujarnya.

Yusof juga menasihatkan pelajar untuk terus bersabar dan bertenang di tempat masing-masing.

Katanya, pelajar juga menjelaskan secara baik kepada ibu bapa dan keluarga masing-masing mengenai keputusan penangguhan sementara dan sebab- sebab penangguhan ini.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *