PKOB Tawau Buat Laporan Polis Isu Penempatan Pusat Kuarantin

Amrullah ketika mengadakan pertemuan dengan penjaja Pasar Malam Chester.

TAWAU: Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Tawau membuat laporan polis berhubung tindakan segelintir individu yang menularkan perkara tidak benar mengenai pusat kuarantin Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau, minggu lalu.

Pengerusi PKOB Tawau Datuk Ir Amrullah Kamal berkata, ia bagi membolehkan siasatan terperinci dilakukan oleh pihak berkuasa mengenai ketelusan pengendalian pusat kuarantin tersebut termasuk aduan yang dibuat.

“Terdahulu kami menerima maklumat yang tular di media sosial berhubung ketidakpuasan hati mereka yang dikuarantin di IPG Kampus Tawau termasuk membabitkan tandas, keadaan bilik dan makanan yang disediakan.

“Perkara ini sudah dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kecil Kuarantin yang membabitkan petugas di IPG Kampus Tawau,” katanya ketika ditemui media, baru-baru ini.

Menurut Amrullah, pihaknya juga mengarahkan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang ditugaskan mengendalikan pusat kuarantin untuk membuat laporan polis berhubung dakwaan aduan yang ditularkan di media sosial.

“Saya akui mungkin ada masalah seperti pengagihan tandas antara lelaki dan perempuan, namun beberapa tindakan sudah diambil termasuk penandaan dan sebagainya.

“Berhubung penempatan dua orang penghuni dalam satu bilik, PKOB Tawau mengambil kira jarak antara katil sejauh dua meter sudah mematuhi penjarakan sosial yang ditetapkan,” katanya.

Dalam hal ini, Amrullah berkata, ia terpulang kepada penghuni untuk menjaga jarak sesama orang sekeliling sepanjang ditempatkan di situ.

“Kami menyediakan kemudahan termasuk cecair sanitasi dan pelitup muka, namun, dalam perkara ini, ia masih perlu bergantung kepada penghuni untuk melakukan penjagaan kendiri ketika dikuarantin.

“Begitu juga dengan makanan yang dikatakan tidak mencapai standart termasuk dakwaan nasi mentah, saya sendiri sudah melakukan siasatan mengenainya dengan menemui penghuni di sana bagi bertanyakan sendiri sejauh mana kebenaran dakwaan tersebut,” katanya.

Tambah Amrullah, peruntukkan perbelanjaan makanan sebanyak RM22 ditetapkan oleh Kerajaan Negeri bagi setiap penghuni yang dikuarantin.

“Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding di tempat lain seperti Semenanjung yang memperuntukkan perbelanjaan sehingga RM45 sehari bagi setiap penghuni.

“Justeru, kami cuba menyediakan hidangan terbaik mengikut jumlah peruntukkan yang diberikan dan ini mungkin tidak mencapai tahap yang biasa dirasai pengadu sebelum dikuarantin atau dirumah,” katanya.

Menurut Amrullah, hasil pertemuan bersama lebih 400 penghuni di situ, pihaknya mendapati dakwaan yang ditularkan sebelum ini adalah tidak benar dan hanya membabitkan segelintir pihak sahaja.

Sementara itu, Amrullah menjelaskan selepas ini, setiap penghuni yang tiba di Lapangan Terbang Tawau akan dihantar terus ke daerah masing-masing untuk menjalani proses kuarantin.

“Ia membabitkan daerah Lahad Datu, Kunak dan Semporna yang mana sebelum ini ditempatkan di IPG Kampus Tawau.

“Ia bagi mengelakkan kesesakan berlaku di pusat kuarantin di Tawau selain bagi memastikan pengurusan individu yang dikuarantin selepas ini lebih efiesien,” katanya.- BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *