‘Najib Razak Dalang Utama’ – Mukhriz

Mukhriz mendakwa Najib sebagai dalang beliau kehilangan jawatan MB buat kali kedua.

ALOR SETAR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa menjadi watak utama penyebab Datuk Seri Mukhriz Mahathir hilang jawatan sebagai Menteri Besar Kedah buat kali kedua.

Mukhriz berkata, walaupun arahan menjatuhkan beliau datangnya dari Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun beliau percaya kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) didalangi bekas pemimpin terbabit.

“Walaupun arahan untuk menjatuhkan saya di Kedah datang daripada Presiden Bersatu melalui (Datuk Seri) Hamzah Zainuddin (Setiausaha Agung Bersatu), tetapi protagonis sebenar masih orang yang sama dengan dulu iaitu Najib Razak.

“Tujuannya tidak lain tidak bukan semata-mata membebaskan dirinya daripada pertuduhan pecah amanah 1MDB, SRC International dan banyak lagi skandal mega yang mencemar nama baik Malaysia di persada dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jitra berkata, kes pengubahan wang haram membabitkan Reza Aziz iaitu anak kepada Rosmah Mansor yang dilepaskan tanpa dibebaskan daripada jenayah itu berkemungkinan menyelamatkan kes jenayah lain membabitkan individu lain termasuk mereka di dalam Umno.

“Mungkin pelepasan itu satu petanda kepada kes jenayah yang dihadapi oleh Najib, Rosmah, Datuk Seri Zahid Hamidi dan pihak tertuduh lain dari Umno. Kita tunggu dan lihat,” katanya. – Harian Metro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *