Lebih RM115 Juta Sudah Dihulur Bantu Rakyat Sabah Terjejas Covid-19 – Madius

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sudah membelanjakan lebih RM115 juta untuk bantuan makanan serta kewangan yang disalurkan kepada golongan miskin, miskin tegar dan B40 setakat ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata peruntukan di bawah Pakej Bantuan Covid-19 Sabah itu membabitkan 554,675 orang penduduk Sabah termasuk yang tinggal di Semenanjung.

“Bagi bantuan rakyat Sabah golongan B40 yang bertugas di Semenanjung, seramai 70,128 masih memerlukan peruntukan.

“Yang Amat Berhormat Ketua Menteri (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) telah meminta supaya semua bantuan sebaiknya diselesaikan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri ini,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Pakej bantuan Covid-19 telah diumumkan Shafie pada 25 Mac lalu bagi membantu mengurangkan kesan negatif penularan Covid-19 kepada rakyat Sabah.

Pakej dengan peruntukan RM670 juta itu membabitkan pengagihan dana dan barangan keperluan harian kepada petugas barisan hadapan, kumpulan berpendapatan rendah, peniaga dan mereka yang kurang berkemampuan.

“Kerajaan Sabah sedar penularan Covid-19 yang melanda hampir seluruh dunia ini telah mendatangkan kesan serta menjejaskan semua lapisan masyarakat.

“Sehubungan itu, pihak Kerajaan Sabah akan sentiasa berusaha untuk membantu penduduk negeri ini, khususnya yang terjejas akibat wabak berkenaan,” katanya.

Sementara itu setakat semalam, Sabah telah merekodkan sebanyak 331 kes positif Covid-19.

Lima kes kematian akibat jangkitan wabak itu juga telah dicatatkan di negeri ini iaitu tiga kes berlaku di Kota Kinabalu manakala Tawau dan Tambunan masing-masing satu kes.

Setakat semalam juga, Sabah juga kekal negeri keenam tertinggi mencatatkan Covid-19 di belakang Selangor yang mencatat sebanyak 1,628, Kuala Lumpur (1,515), Negeri Sembilan (776), Johor (668), dan Sarawak (544). – Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *