Dua Lelaki Tempatan Dicekup Dalam Kereta

Antara peralatan menghisap dadah yang dirampas – Foto Ihsan Polis

RANAU: Dua lelaki tempatan ditahan ketika sedang melakukan urusan jual beli dadah di dalam sebuah kereta, berhampiran Kampung Kiringo Kinandusan, Ranau, semalam.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, mereka ditahan dua anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau yang menjalankan rondaan pada 12.50 tengah hari.

“Siasatan awal, anggota polis melihat dua suspek mencurigakan di dalam kereta Perodua Kancil berwarna kelabu.

“Anggota polis kemudiannya menjalankan pemeriksaan terhadap badan kedua-dua suspek dan menemui satu beg kecil berwarna coklat mengandungi tiga paket lutsinar mengandungi dadah,” katanya dihubungi hari ini.

Menurutnya, dadah berbentuk kristal dipercayai syabu itu ditemui pada pemandu yang dipercayai pengedar dadah berusia 28 tahun.

“Dadah seberat enam gram dianggarkan berharga RM700 dan beberapa peralatan menghisap dadah serta kereta dirampas.

“Sementara, seorang lagi lelaki berusia 35 tahun yang duduk di bahagian penumpang idpercayai pelanggannya tidak sempat membeli dadah berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, Sammy berkata, ujian saringan air kencing kedua-dua suspek adalah negatif.

“Mereka dibawa ke IPD Ranau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (pertuduhan bersama),” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *