KPDNHEP Rampas 756 Liter Petrol, Diesel Di Telupid

Minyak diisi ke dalam tong drum untuk dijual dengan harga lebih tinggi daripada harga pasaran.

TELUPID: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 765 liter minyak petrol dan diesel yang dipercayai cuba diseleweng susulan serbuan ke atas sebuah stesen minyak di sini, awal pagi tadi.

Rampasan membabitkan 500 liter minyak petrol dan 265 liter minyak diesel itu dibuat selepas penahanan seorang lelaki warga tempatan berusia 25 tahun, pada pukul 6 pagi tadi.

Minyak diisi ke dalam tong drum untuk dijual dengan harga lebih tinggi daripada harga pasaran.

Ketua Cawangan KPDNHEP Sandakan, Mohamad Hashim, berkata pihaknya membuat risikan dan siasatan berhubung aduan penyelewengan bahan api petroleum bersubsidi yang dilakukan oleh pembeli yang tidak mempunyai kebenaran bertulis daripada pengawalan bekalan, serta salah laku pengusaha stesen minyak.

Katanya, risikan dibuat selama seminggu yang kemudian membawa kepada penahanan lelaki itu dengan anggaran keseluruhan rampasan termasuk kereta adalah RM51,039.

“Suspek ditahan dan diambil keterangan, sebelum dibebaskan. Lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 21 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Sementara, pengusaha stesen minyak pula akan diambil tindakan mengikut Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana melanggar syarat lesen tidak boleh menjual bahan api kepada orang yang tidak mempunyai kebenaran bertulis,” katanya di sini, hari ini.

Mohamad berkata, pihaknya akan terus mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti penyelewengan yang dilakukan mana-mana pihak dan pengusaha stesen minyak.

Katanya, sejak April sehingga awal bulan ini, lima kes tangkapan direkodkan berhubung aktiviti penyelewengan bahan petroleum dan barang kawalan berjadual.

“Semua lima kes ini sudah dituduh ke mahkamah, manakala warga asing yang terbabit dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan berjadual ditahan di Penjara Sandakan sebelum sebutan semula kes Pada 16 Jun depan,” katanya. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *