Covid-19: Sabah Catat Kes Kematian Kelima

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (tengah) ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan.

KOTA KINABALU: Sabah hari ini mencatat satu kes kematian akibat Covid-19, menjadikan jumlah korban di negeri ini seramai lima orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang medianya di ibu negara, hari ini, berkata kes kematian itu membabitkan seorang wanita berusia 53 tahun.

Pesakit terbabit juga adalah kakitangan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) namun telah bercuti disebabkan penyakit barah.

Beliau dimasukkan ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah, Likas pada 5 Mei lalu disebabkan kesihatan beliau yang semakin merosot.

Beliau didapati positif Covid-19 dan disahkan meninggal dunia pada jam 1.30 petang, 7 Mei lalu.

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan terdapat 17 kes baru Covid-19 yang dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kes Covid-19 di Malaysia setakat ini sebanyak 6,872 kes.

“Ingin dimaklumkan daripada 17 kes baru yang dilaporkan, enam adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala sebelas kes adalah penularan tempatan yang melibatkan lima bukan warganegara,” katanya.

Menurutnya, seramai 73 pesakit telah pulih dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan jumlah kes pulih kepada 5,512, iaitu 80.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ia menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 1,247 kes.

Setakat ini, 13 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan lima daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. – Berita Sabah

Maklumat Mangsa Korban

Kes kematian ke-113 (kes ke-6856) merupakan wanita warganegara Malaysia berumur 53 tahun. Beliau mempunyai sejarah penyakit barah dan darah tinggi. Beliau adalah merupakan seorang kakitangan perubatan KKM di Sabah
(namun telah bercuti sakit disebabkan barah).

Beliau telah dimasukkan ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah, Likas pada 5 Mei 2020 disebabkan kesihatan beliau yang semakin merosot. Beliau didapati positif COVID-19 dan disahkan meninggal dunia pada 7 Mei 2020 jam 1.30 petang.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *