Pemandu Bas Tiada Pilihan, Tambang Terpaksa Dinaikkan

KOTA KINABALU: Selepas hampir dua bulan tidak beroperasi kini, pengusaha pengangkutan awam berdepan pula dengan dilema untuk menampung kos operasi yang tinggi disebabkan kapasiti penumpang hanya separuh.

Prosedur operasi standard (SOP) yang baharu itu menyebabkan pengusaha bas awam terpaksa menaikkan sedikit kadar tambang.

MOHD RAIS

Pemandu bas mini Kinarut-Kota Kinabalu (KK), Mohd Rais,26, berkata, pemandu bas terpaksa menaikkan sedikit kadar tambang yang sedia ada disebabkan mereka beroperasi dengan separuh kapasiti penumpang.

“Biasanya kami boleh membawa 12 atau 13 orang penumpang bergantung kepada kapasiti bas.

“Tapi, semasa Perintah Kawalan Pergerakan tahap enam (PKP 6) ini, kami dibenarkan membawa enam atau tujuh orang penumpang sahaja bagi mematuhi penjarakan sosial.

“Sekarang tambang dikenakan RM 4 berbanding RM 3 sebelum PKP.

”Biarpun harga minyak murah pada masa ini namun, kos penyelenggaraan serta bayaran ansuran bulanan bas masih perlu dibayar,” katanya ketika ditemui Borneo Today, di sini hari ini.

Mohd Rais berkata, pengusaha bas tiada pilihan lain. Jika ikut kadar tambang seperti sebelum ini, bebanan kos operasi terpaksa ditanggung oleh mereka sendiri.

JAMAL

Sementara itu, pemandu bas Putatan-KK yang ingin dikenali sebagai Jamal berkata, pemandu bas terpaksa menaikkan kadar tambang daripada RM 2 kepada RM 3 bagi membolehkan mereka menampung kos operasi setiap trip.

“Setiap penumpang juga telah dimaklumkan mengenai kadar tambang itu dan setakat ini tiada penumpang yang merungut tentang kenaikan RM 1 itu.

“Jika sebelum PKP, setiap trip saya boleh memperoleh RM24, tapi sekarang pendapatan diperoleh untuk setiap trip hanya separuh daripada itu,” jelasnya.

Menurutnya, dari segi SOP pula, memang setiap bas mini membawa separuh sahaja bilangan penumpang. Setiap penumpang juga diwajibkan memakai pelitup muka dan menggunakan pensanitasi tangan.

JIMMY WONG

Manakala, bagi Jimmy Wong yang sudah membawa bas Papar-KK selama hampir 20 tahun, kebanyakan bas Papar masih belum beroperasi kerana tidak mahu menampung bebanan kos operasi yang tinggi.

Katanya, hanya ada dua bas sahaja yang beroperasi dari Papar-KK sejak 11 Mei lalu.

Beliau berkata, tambang bas terpaksa dinaikkan dari RM 5 kepada RM 10 kerana jarak perjalanan antara Papar dan Kota Kinabalu agak jauh.

“Memang tidak dinafikan harga minyak diesel sekarang murah tapi, kami masih perlu menyelenggara kenderaan dan tayar.

“Sekarang ini pun penumpang masih sedikit. Ada masa hanya empat orang sahaja penumpang dari Papar. Ada kalanya baru sampai enam orang,” ujarnya.

Jimmy berkata, setakat ini tiada sebarang aduan daripada penumpang tentang kadar tambang yang dikenakan ini kerana mereka mengadu menaiki grab lebih mahal berbanding naik bas. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *