Kerajaan Negeri, Persekutuan Diminta Beri Perhatian Masalah Pusat Kuarantin Di Sabah – Nizam

TAWAU; 15 MEI 2020 (Jumaat): Kerajaan negeri dan persekutuan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia diminta mengambil perhatian keadaan di pusat-pusat kuarantin di negeri ini yang kurang memuaskan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kewujudan pusat kuarantin adalah bertujuan untuk mengasingkan individu berisiko dijangkiti COVID-19 dari menjangkiti individu lain dalam usaha membendung penularan wabak berkenaan.

Status FB yang mendakwa pusat kuarantin IPG Tawau kotor. Foto tular media sosial

Menurutnya, beliau mengambil contoh pusat kuarantin di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau di Balung yang kekurangan kemudahan asas termasuk terpaksa berkongsi bilik mandi dan tandas antara lelaki dan perempuan selain banyak kerosakan kemudahan asas lainnya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan medianya hari ini.
Jelasnya, banyak aduan ibubapa dan masyarakat tentang pengabaian kemudahan asas dan keadaan kebersihan di pusat kuarantin berkenaan sehingga menimbulkan kerisauan.

Tambahnya, pada persidangan DUN Sabah bulan April lalu, Ketua Menteri Datuk Mohd Shafie Apdal ada menyatakan sebanyak 200 juta ringgit disediakan untuk perlaksanaan projek-projek kecil bagi usaha menambah baik kualiti liputan insfrastruktur termasuk bagi 39 pusat kuarantin yang diwartakan di Sabah.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri supaya menggunakan peruntukan tersebut untuk menambah baik IPG Balung selain mencadangkan supaya memilih beberapa hotel di Tawau untuk dijadikan sebagai pusat kuarantin.

SumbeR: BESTAWAUfm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *