‘Dapat RM20 Jak Sehari’

Pemandu bas Sandakan bergambar di Teminal Bas Mini Sandakan sempena hari terakhir beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Gambar Ihsan Mohd Harun Ramli

SANDAKAN: “Bekerja seharian hanya beroleh pendapatan bersih RM20 sahaja, semua itu tidak cukup untuk kami sebagai pengusaha bas mini,” luah Pengerusi, Persatuan Bas Mini Daerah Sandakan, Mohd Harun Ramli.

Mohd Harun, 53, mengakui rata-rata pengusaha bas mini di Sandakan terjejas teruk berikutan pandemik Covid-19 melanda negara meskipun ketika ini mereka dibenarkan beroperasi semula sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan.

Beliau berkata, meskipun kerajaan membenarkan pengangkutan awam beroperasi, pengusaha bas mini masih mengalami kerugian kerana mereka hanya boleh memuatkan enam penumpang dalam satu-satu masa bagi bas mini berkapasiti 12 penumpang.

“Pengusaha bas mini perlu tanggung kos ansuran bulanan kenderaan, selain penyelenggaraan. Jadi, macam mana kami hendak bertahan.

“Kami berharap kerajaan dapat melihat perkara ini dan membantu apa yang sewajarnya demi kebaikan bersama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Harun berkata, akibat tekanan itu juga, pihaknya terpaksa menghentikan perkhidmatan bas mini di Sandakan mulai esok bagi mengelak terus menanggung kerugian.

“Sejak dibenarkan beroperasi beberapa hari lalu, 518 syarikat bas mini berdaftar dengan persatuan kami mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Kami akur, namun kami tidak dapat teruskan (perkhidmatan) dalam keadaan sekarang, ketika ini juga penumpang sangat kurang,” katanya. – Harian Metro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *