Covid-19: Tiada Kes Baharu Di Sabah Hari Ini, 30 Masih Dirawat

KOTA KINABALU: Sabah sekali lagi tidak melaporkan sebarang kes baharu hari ini dan kes Covid-19 di negeri ini kekal 330 kes.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon berkata, sebanyak tiga kes telah pulih dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sebanyak 293 kes.

Beliau berkata, masih terdapat 30 kes aktif termasuk tujuh kes yang dirawat semula. Kes aktif ini merupakan kes yang masih dirawat di hospital-hospital berpakar seluruh Sabah.

Keningau yang melaporkan 18 kes merupakan daerah yang mempunyai kes aktif tertinggi buat masa ini dengan lapan kes diikuti dengan lima kes aktif di Lahad Datu.

Empat kes aktif masing-masing dilaporkan di Tawau, Kota Kinabalu dan Semporna. Manakala dua kes aktif di Penampang dan satu kes aktif masing-masing dilaporkan di Tuaran, Kunak, Ranau dan Beluran.

Sehingga kini, jumlah kes kematian di Sabah kekal dengan empat kes iaitu dua kes di Kota Kinabalu dan satu kes masing-masing di Tawau, Tambunan.

Sebanyak 36 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan di Malaysia hari ini, menjadikan jumlah kes keseluruhan adalah sebanyak 6,855 kes.

Manakala, terdapat 88 kes yang pulih hari ini dan bilangan kumulatif kes pulih sehingga kini adalah sebanyak 5,439 kes. Kes kematian di Malaysia setakat ini kekal 112 kematian.

Seramai 14 pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, lima pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *