Ahli Politik Warisan Ketuai Jabatan Air Sabah Jangka Ditamatkan Kontrak

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Oktober 2019 mengisytiharkan pelantikan Amarjit Singh bertentangan Seksyen 3 Enakmen Bekalan Air Sabah 2003 kerana hanya penjawat awam boleh dilantik ke jawatan kanan JANS.

KOTA KINABALU: Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Amarjit Singh menjangkakan kontraknya akan ditamatkan, kira-kira 2 tahun selepas pelantikan ahli politik Warisan itu ke jawatan berkenaan mencetuskan kontroversi.

Beliau memberitahu FMT, seseorang secara “lisan” memberitahu beliau yang kontrak 2 tahunnya akan dipendekkan.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan identiti individu itu, tetapi ada mesej tersebar mendakwa beliau sudah mengumumkan pemergiannya kepada kakitangan.

Pada 9 Okt 2019, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengisytiharkan pelantikan Amarjit bertentangan Seksyen 3 Enakmen Bekalan Air Sabah 2003 yang menyatakan hanya penjawat awam boleh dilantik ke jawatan kanan JANS.

Kes itu difailkan bekas ketua menteri Sabah, Yong Teck Lee dan ahli perniagaan dari Tawau, Pang Thou Chung pada 19 Mac 2019 yang mendakwa pelantikan Amarjit pada Ogos 2018 melanggar undang-undang kerana beliau bukannya penjawat awam, tetapi disebabkan jawatannya sebagai setiausaha Warisan Bahagian Putatan yang juga parti pemerintah di Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal mempertahankan pelantikan Amarjit.

SumbeR: Free Malaysia Today

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *