Semua Barangan Terjejas Di Metrojaya Suria Sabah Diganti Baharu

KOTA KINABALU: Selepas gambar barangan kulit dan pakaian di kedai Metrojaya Suria Sabah tular di laman sosial semalam, pihak Metrojaya cawangan Sabah mengesahkan barangan yang didapati berkulat tersebut telah pun digantikan dengan stok baharu.

Ketua Pemasaran Kumpulan The MUI Group, Karen Mak berkata, perkara itu berlaku selepas pihaknya  menutup operasi sejak 18 Mac, namun barangan terjejas itu sudah pun diganti dengan stok baharu.

“Kita telah menutup operasi selama hampir dua bulan sejak 18 Mac lalu, selari dengan arahan kerajaan dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Walau bagaimanapun, semua barangan yang terjejas sudah dikeluarkan daripada rak pameran dan digantikan dengan stok baharu,” katanya.

Sementara itu, Karen menyatakan pihaknya turut memberi jaminan bahawa kakitangan mahupun pelanggan boleh membeli belah dengan selamat di premis terbabit.

Jelasnya, pihaknya telah mengambil langkah pencegahan yang diperlukan mengikut panduan pencegahan Covid-19 yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Semua kakitangan juga giat melakukan kerja pembersihan dan mengemas semula barangan bagi memastikan pelanggan yang datang sentiasa berada dalam keadaan selesa,” katanya.

Tambahnya, Metrojaya Suria Sabah dijangka beroperasi semula pada hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *