Pelajar UMS Positif Covid-19

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan satu kes baharu positif koronavirus (Covid-19) melibatkan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, kata Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Christina Rundi.

Beliau berkata, kes itu dikesan semalam dan menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 di Sabah sebanyak 328 kes setakat ini.

“Kes itu dikesan melalui saringan dan sampel yang diambil berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Pengurusan Pergerakan Pelajar untuk Negeri Sabah yang dikendalikan oleh UMS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pelajar tersebut antara ribuan penuntut institusi pengajian tinggi yang dibenarkan kembali ke kampung masing-masing menerusi inisiatif yang melibatkan pergerakan besar-besaran pelajar dari zon merah ke zon hijau dan kuning.

Sementara itu, Dr Christina berkata, Sabah dijangka menerima kepulangan kira-kira 7,000 pelajar dari Semenanjung Malaysia, Labuan dan Sarawak.

“Setakat ini, seramai 1,048 pelajar telah kembali ke kampung masing-masing di Sabah manakala Sabah pula menghantar pulang 1,612 pelajar ke Semenanjung, Labuan dan Sarawak,” katanya.

Pada 11 Mei lalu Sabah mencatatkan peningkatan mendadak kes baharu positif Covid-19 dengan 10 kes dan dua daripadanya adalah pelajar universiti yang tiba dari Semenanjung. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *