Lagi Kes Baharu Covid-19 Di Sabah Melibatkan Pelajar, Kali Ini Pelajar Tempatan

KOTA KINABALU: Kes terbaharu jangkitan Covid-19 di Sabah sekali lagi melibatkan pelajar dan kali ini melibatkan pelajar daripada universiti tempatan di sini.

Pelajar tersebut dikesan melalui saringan dan sampel yang diambil berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Pengurusan Pergerakan Pelajar untuk Negeri Sabah yang dikendalikan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Semalam, UMS telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa semua pelajar di kampus Kota Kinabalu yang sepatutnya balik menggunakan jalan darat untuk kekal di universiti tanpa memberi penjelasan akan tindakan tersebut.

Walau bagaimanapun, identiti pelajar tersebut  tidak dinyatakan dalam laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Menurut pengarah JKNS Datuk Dr. Christina Rundi, SOP tersebut dibentuk untuk pengoperasian program khas ekoran kebenaran yang diberikan kepada pelajar di institusi pengajian untuk pulang ke daerah asal.

“Sejumlah 7,000 pelajar dianggarkan akan kembali ke tempat asal masing-masing dan bagi Negeri Sabah.

“Ini bermaksud pergerakan besar-besaran pelajar dari zon merah ke zon hijau dan kuning,”katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, setakat ini, sejumlah 1,612 pelajar telah diurus perjalanan mereka ke Semenanjung Malaysia, Labuan dan Sarawak.

Manakala, sejumlah 1,048 pelajar telah dihantar pulang ke daerah asal mereka di Negeri Sabah.

Mengulas lanjut, Dr. Christina, menjelaskan lagi saringan dan pengambilan sampel untuk pelajar yang kembali ke Negeri Sabah juga sedang dilaksanakan di semua pintu masuk Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.

Dalam pada itu, hasil daripada pemantauan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah iaitu di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, tiga  orang iaitu satu pelajar di daerah Tawau dan dua orang awam di daerah

Sandakan dan Penampang telah didapati ingkar perintah itu.

“Pihak JKNS tidak akan ragu-ragu untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana individu yang ingkar Perintah,”katanya.

Pada 11 Mei lalu, Sabah mencatatkan peningkatan mendadak sebanyak 10 kes selepas 3 minggu dengan rekod antara sifar dan 5 kes sehari.

Antara 10 kes tersebut, dua merupakan pelajar universiti yang balik daripada semenanjung Malaysia. – BorneoToday

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *