Buat Janji Temu Sebelum Berurusan Di Jabatan Imigresen Sabah

KOTA KINABALU, 13 Mei: Jabatan Imigresen Sabah menasihati orang awam supaya membuat permohonan menerusi Sistem Temujanji Online (STO) terlebih dahulu sebelum berurusan di semua perkhidmatan kaunter jabatan itu di seluruh negeri.

Pengarah Imigresen Sabah Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin berkata perkhidmatan kaunter di jabatan itu telah dibuka semula dan individu yang ingin berurusan perlu membuat permohonan secara dalam talian terlebih dahulu sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Warganegara Malaysia tidak dihalang untuk meninggalkan Negeri Sabah dan tidak perlu mendapat kebenaran khas dari pihak Imigresen.- Foto Twitter Dato Dr Muhamad Sade.

Beliau berkata permohonan STO itu boleh dibuat menerusi pautan http://sto.imi.gov.my/e-temujanji dan orang awam diminta untuk hadir bersama slip pengesahan janji temu berkenaan.

“Orang awam yang hadir berurusan di Pejabat Imigresen Sabah juga dinasihatkan mematuhi pelaksanaan protokol keselamatan dan kesihatan dalam norma baharu bagi mengurangkan penularan wabak COVID-19.

“Semua pelanggan wajib diambil bacaan suhu badan sebelum berurusan, wajib memakai pelitup muka, mematuhi penjarakan sosial, dan menggunakan cecair pembasmi kuman,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Muhamad Sade berkata permohonan pasport secara ‘walk-in’ bagi urusan rasmi seperti belajar atau bekerja di luar negara sahaja dibenarkan, manakala bagi melancong dan pembaharuan pasport tanpa tujuan adalah tidak dibenarkan.

“Perkhidmatan Bahagian Pekerja Asing turut dibuka semula melibatkan Lanjutan Pas Lawatan Kerja Sementara yang telah tamat tempoh sahaja serta permohonan di bawah program regularisasi yang telah mendapat kelulusan kuota dan mempunyai pasport,” katanya.

BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *