Pesara TLDM Maut Motosikal Rempuh Kereta Di Jalan Kota Belud – Kota Marudu

Keadaan kemalangan membabitkan motosikal jenis Yamaha 15ZR dan kereta Perodua Bezza di Jalan Kota Belud – Kota Marudu di Kampung Pandasan, Kota Belud. – Ihsan PVATM

KOTA BELUD: Seorang pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut, selepas motosikal ditunggangnya merempuh kereta yang memasuki laluan bertentangan di Jalan Kota Belud – Kota Marudu, Kampung Pandasan di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa Yusof Abd Amit, 41, berasal Kampung Tajau, Tuaran, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah, berkata siasatan awal mendapati pemandu kereta, lelaki berusia 31 tahun memandu dari arah Kota Kinabalu menghala Kota Marudu.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, pemandu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan secara melintang, lalu menyebabkan mangsa merempuh bahagian pintu kiri kereta terbabit.

“Akibat kemalangan itu, kedua-dua kenderaan terbabas di parit kiri jalan menyebabkan mangsa maut dalam keadaan tertiarap di parit,” katanya.

Menurutnya, pemandu kereta tidak cedera, manakala cuaca tidak hujan serta keadaan jalan raya berturap tar.

“Setakat ini siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu yang gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian.

“Bagaimanapun, siasatan kes diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Berita Harian

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *