Pejabat Pos Tawau Terima Pelanggan Paling Ramai

Suasana di luar perkarangan pejabat Pos Tawau yang sesak.

TAWAU: Sejak kerajaan negeri memberi kelonggaran kepada sektor ekonomi dan pejabat kerajaan beroperasi, orang ramai dilihat keluar berpusu-pusu untuk melunaskan urusan yang tertangguh sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasakan.

Tinjauan Utusan Borneo, premis paling ramai menerima kunjungan pelanggan termasuklah pejabat Pos Malaysia untuk urusan kirim dan ambil barang serta urusan lain.

Memandangkan Prosedur Operasi Standad (SOP) jarak 1 meter yang diamalkan pihak pejabat Pos Malaysia membuatkan suasana di luar premis berkenaan sangat padat dengan pelanggan yang terpaksa berbaris panjang dalam tempoh masa yang lama.

SALLEH

Pelanggan Salleh Tahir,52, yang tiba di premis itu seawal jam 7 pagi menempuh suasana panas kerana terpaksa menunggu giliran untuk mengirim barang.

“Saya sampai sahaja di sini, memang sudah ramai orang untuk menunggu diberikan nombor giliran dan sehingga jam 12 tengah hari ini saya belum dapat berurusan lagi.

“Beratur panjang dalam tempoh yang lama ini juga membuatkan saya rasa takut dijangkiti wabak COVID-19 sebab kita tidak tahu orang yang datang di sini sihat atau tidak,” katanya.

Beliau berkata, tidak boleh salahkan pihak pejabat pos kerana mereka terpaksa melayan ramai pelanggan disamping mengikuti SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Memang urusan di sini sangat memenatkan dan prosesnya sangat lambat hanya semata-mata kirim barang sahaja tetapi kita juga perlu hormati tindakan pihak pengurusan pos.

“Saya mengharapkan, pengurusan pos dapat mengambil inisiatif supaya orang ramai tidak datang berpusu-pusu di premis ini termasuklah cadangan buka sementara cawangan lain untuk pelbagai urusan,” katanya.

Situasi itu turut dirasai oleh Jusriani Arbain, 24, yang terpaksa beratur lebih 2 jam semata-mata untuk mengambil barang di sini.

JUSRIANI

“Saya terkejut bila sampai di pejabat pos kerana sudah ramai orang beratur di luar tidak seperti lazimnya sebelum PKP dilaksanakan.

“Ini kali pertama saya turun ke bandar sejak PKP dan memang lain dari kebiasaanya kerana dimana-mana ramai orang, jalan raya di bandar pun sesak,” katanya.

Katanya, walaupun lama menunggu tetapi beliau faham keadaan ini berlaku kerana pelanggan terlalu ramai dan SOP perlu dipatuhi pelanggan tidak boleh terlalu ramai berada di dalam pejabat berkenaan untuk berurusan.

“Saya melihat pejabat pos mematuhi SOP di dalam premisnya kerana hanya 15 orang sahaja boleh berurusan dalam satu-satu masa.

Namun, keadaan di luar premis memang agak sesak dan tidak mengikuti jarak 1 meter, keadaan itu sangat menakutkan kerana sesiapa sahaja boleh  terdedah dengan wabak.

“Diharapkan pihak pengurusan pejabat pos dapat membuat satu kaedah supaya orang tidak terlalu ramai berkumpul di luar premisnya,” katanya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *