COVID-19: 10 Kes Baharu Di Sabah Kategori Kes Import

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi

KOTA KINABALU : Semua kes baharu COVID-19 yang dicatatkan semalam termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun, dikategorikan sebagai kes import kerana mendapat jangkitan pandemik itu di luar negeri Sabah.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Christina Rundi, berkata daripada 10 kes baharu itu, tujuh sampel diambil di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Tawau.

Katanya, tiga lagi kes dikesan melalui lapangan terbang Sandakan dan sudah diarahkan untuk melakukan pengambilan sampel di destinasi akhir masing-masing.

“Kesemua kes ini telah diberi Borang Annex 14 iaitu perintah untuk menjalani Home Quarantine namun siasatan awal mendapati sebahagian besarnya telah mengingkari perintah ini dan menyebabkan bilangan kontak terdekat yang perlu disiasat bertambah.

“Daripada jumlah itu, dua kes membabitkan pelajar selain satu kes adalah seorang kanak-kanak manakala selebihnya, rakyat Sabah yang bekerja di Semenanjung,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Jelas Christina lagi, siasatan ke atas kontak rapat sedang giat dijalankan.

Bagaimanapun, katanya peningkatan kes secara mendadak itu mengundang pelbagai reaksi dan komen di media sosial.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi termasuk menularkan butiran peribadi kes berkenaan kerana dikhuatiri boleh menimbulkan stigma terhadap pesakit COVID-19.

Beliau turut menegaskan, bahawa Borang Pengisytiharan Kesihatan Kemasukan Ke Sabah perlu diisi dengan lengkap dan jujur.

“Sekiranya didapati maklumat yang diberikan adalah palsu atau tidak lengkap, tindakan boleh di ambil di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” tegasnya.- Berita Harian

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *