Tak Sempat Merasa Hasil Curi

Barang yang dicuri suspek berjaya dirampas semula dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Tobur, Manggatal, Kota Kinabalu. Foto Juwan Riduan

TUARAN: Seorang lelaki warga asing ditahan tidak sampai 24 jam selepas memecah masuk sebuah kilang perabot di Jalan Tuaran, Kota Kinabalu, semalam.

Suspek berusia 50 tahun itu ditahan di rumahnya di Kampung Kampung Tobur, Kota Kinabalu pada 5.20 petang selepas polis menerima laporan daripada pemilik kilang pada jam 9 pagi hari sama.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, dalam serbuan itu polis menemui semula lima barangan yang dicuri dari kilang perabot berkenaan.

“Antara yang ditemui semula ialah kipas angin, mesin pemotong aluminium dan kayu, mesin gerudi serta dua mesin pemampat udara di ruang tamu rumah suspek.

“Ketika serbuan dilakukan, pemeriksaan mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, selain itu, hasil soal siasat, suspek mengaku semua barangan yang tersimpan di ruang tamu rumahnya adalah hasil curi

“Suspek bersama barang rampasan kemudiannya dibawa balik ke Balai Polis Manggatal untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *