Berpisah Sejak Kecil, Wanita Minta Bantuan Cari Ibu Kandung

Martini

KOTA KINABALU: Kehilangan ibu kandung sejak dari usia kecil bukanlah perkara yang mudah untuk dihadapi lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak seawal usia sembilan tahun.

Namun begitulah pengalaman hidup yang terpaksa dihadapi oleh Martini Masahuda, 36, yang terpisah dari kasih sayang seorang ibu sejak dari kecil lagi.

Sempena dengan Sambutan Hari Ibu pada 10 Mei, setiap kali itulah dirinya sering teringat mengenai ibu kandungnya yang dikatakan sudah lama meninggal dunia.

Namun, keadaan itu berubah selepas seorang wanita yang mengakui sebagai ibu kandungnya menghubungi Martini melalui panggilan telefon pada April tahun lepas.

“Saya mula-mula tidak percaya tetapi selepas wanita berkenaan menyebut nama sebenarnya dan mengakui dialah ibu kandung saya, hati saya terdetik mungkin dialah insan yang selama ini saya rindu dan mahu bertemu sejak kecil.

“Pada awalnya saya agak kecewa dan marah kerana selepas sekian lama kenapa baru sekarang mahu mencari saya. Tetapi, selepas beliau menjelaskan situasi yang dihadapinya saya yakin ibu saya juga rindu mahu bertemu kami adik-beradik.

“Ibu saya bernama Bunga Antong dan berusia sekitar lebih 50 tahun. Saya difahamkan ibu berasal dari Sanrego Sulawesi Indonesia dan selepas berpisah dengan ayah saya, dia mungkin kembali ke Indonesia,” katanya.

Selepas dihubungi tahun lepas, Martini tidak lagi dapat menghubungi ibunya dan nombor telefon berkenaan juga gagal dihubungi.

Keadaan itu menambahkan kesedihan Martini yang kini menetap di Wilayah Persekutuan Labuan untuk bertemu dengan ibunya selagi masih ada peluang.

Sehubungan itu, beliau berharap dengan tersebarnya maklumat mengenai pencarian ibunya ini, ada pihak tampil yang tahu dan ada maklumat mengenai ibunya sudi untuk membantu.

Maritini boleh dihubungi menerusi nombor telefon 014-9783274 atau menerusi akaun Facebook Daniel Irfan. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *