Pengangkutan Awam & Banyak Lagi Sektor Ekonomi Dibernarkan Beroperasi Di Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini memutuskan untuk membenarkan beberapa lagi sektor di negeri ini beroperasi termasuk sektor peruncitan dan makanan serta sektor pengangkutan awam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), bermula hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata selain itu kerajaan negeri juga membenarkan aktiviti rekreasi dan riadah kesihatan di Taman-Taman Awam.

“Pelaksanaan aktiviti-aktiviti tersebut hendaklah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia dan peraturan yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata aktiviti peruncitan meliputi kompleks membeli belah, pasaraya, farmasi, butik dan kedai pakaian, kedai serbaneka, dobi, jedai perabot, kedai emas, dan kedai elektrik.

“Ia juga turut meliputi kedai elektronik, kedai buku dan alat tulis, kedai telefon, kedai komputer, kedai hardware, kedai makanan haiwan, bengkel kenderaan dan alat ganti, serta kedai cermin mata.

“Aktiviti makanan pula meliputi perniagaan berpremis merangkumi restoran, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan (Berbumbung) dan pasar borong, pasar malam dan tamu,” katanya.

Mohd Shafie berkata aktiviti pengangkutan awam darat dan logistik pula meliputi perkhidmatan teksi, kereta sewa, grab, e-hailing, bas, keretapi, terminal (bas dan teksi) dan logistik darat pelabuhan.

“Aktiviti Pengangkutan Awam Maritim meliputi perkhidmatan pelabuhan, jeti persendirian, jeti awam (penumpang dan barangan), dan feri penumpang. Semua aktiviti sokongan yang berkaitan dengan sektor pengangkutan awam adalah dibenarkan,” katanya – Berita Sabah

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *