2.3 Juta Permohonan Baharu Diluluskan, Semak Rayuan BPN Mulai Hari Ini

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR: Lebih 2.3 juta permohonan baharu dan juga rayuan untuk Bantuan Prihatin Nasional (BPN) diluluskan berjumlah RM1.7 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata jumlah itu adalah permohonan baharu dan rayuan BPN yang dibuka dari 1 hingga 30 April lalu bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar layak dan memerlukan.

Orang ramai kini boleh menyemak status permohonan dan rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) mereka mulai hari ini.

Beliau berkata lagi, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) juga selesai membuat semakan ke atas permohonan baharu dan rayuan ini.

“Bagi mereka yang layak, pembayaran BPN akan dibuat secara sekali gus mulai 15 Mei 2020. Status permohonan baharu dan rayuan BPN boleh disemak mulai 9 Mei 2020.

“Dengan kelulusan permohonan baharu dan rayuan itu, jumlah penerima BPN ialah 10.6 juta, merangkumi jumlah bayaran bernilai RM11 bilion, iaitu tambahan RM1 bilion berbanding peruntukan asal RM10 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan berharap BPN ini akan memanfaatkan penerima dan meringankan beban mereka dalam tempoh yang amat mencabar ini. – Berita Harian

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *