(VIDEO) Rumah Roboh, Enam Beranak Tercampak Dalam Air

Keadaan rumah mangsa yang roboh tiba-tiba di Kampung Batu, Semporna, petang semalam. Gambar Ihsan pembaca

SEMPORNA: “Sejurus rumah roboh, saya terus menyelam dan capai tangan anak, Jidar yang berusia dua tahun dan Siti Dayana yang berumur lapan bulan.

“Syukur mereka selamat malah tiga lagi anak sempat berpaut pada objek dan serpihan kayu yang terapung sebelum diselamatkan penduduk kampung,” kata Gapur Madjang, 30.

Pada kejadian jam 5.30 petang semalam, rumah atas air Gapur di Kampung Batu, roboh dan mereka enam beranak tercampak ke dalam air.

Keadaan rumah mangsa yang roboh tiba-tiba di Kampung Batu, Semporna, petang semalam. Gambar Ihsan pembaca

Bagaimanapun, semuanya selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Tiga anak Gpur yang selamat ialah Jasim, 8, Jasin, 6, dan Jaitun, 5.

Menurut Gapur, ketika kejadian, dia sedang menidurkan Jidar dan Siti Dayana dalam buaian di ruang tamu manakala tiga lagi anaknya leka bermain sesama sendiri di dalam bilik.

Katanya, ketika itu, isterinya, Nasraidah Majaran, 25, tiada di rumah kerana menghadiri program penyerahan bantuan Covid-19 di pekan Semporna selain membeli juadah berbuka.

“Pada mulanya, saya hanya terdengar lantai papan berbunyi seolah-olah ranting patah.

“Tiba-tiba rumah roboh dan kami enam beranak sudah berada di dalam air.

“Kejadian berlaku dengan pantas, ketika itu, saya terus menyelam dan mencapai tangan Jidar dan Siti Dayana,” katanya dihubungi hari ini.

Menurut Gapur, rumah yang dihuni sejak puluhan tahun itu ranap sepenuhnya selain tiada barangan dapat diselamatkan.

“Kami tinggal sehelai sepinggang. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana semua anak selamat.

“Kini kami menumpang di sebuah pusat pendidikan alternatif milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini,” katanya.

Sementara itu, saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Arkan 21, berkata, dia sempat terjun menyelamatkan seorang daripada anak mangsa.

“Saya lihat rumah itu mula tenggelam, tanpa berfikir panjang saya terjun untuk menyelamatkan seorang daripada kanak-kanak lelaki berkenaan dan membawanya menaiki bot,” katanya.- HMETRO

https://www.facebook.com/100006801750144/videos/pcb.2707308259505873/2707307152839317/
https://www.facebook.com/100006801750144/videos/pcb.2707308259505873/2707308126172553/
https://www.facebook.com/100006801750144/videos/pcb.2707308259505873/2707308202839212

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *