Sabah Benarkan Sektor Pembinaan, Penyelenggaraan, Perhutanan Beroperasi Mulai Hari Ini

KOTA KINABALU, 8 Mei: Kerajaan Sabah memutuskan untuk membenarkan sektor pembinaan dan penyelenggaraan serta sektor perhutanan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), mulai hari ini.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata aktiviti pembinaan yang dibenarkan beroperasi melibatkan kerja-kerja pembinaan bangunan, infrastruktur, kemudahan awam, lanskap dan lain-lain sektor pembinaan.

Beliau berkata aktiviti penyelenggaraan yang dibenarkan beroperasi meliputi aktiviti seperti pembaikan dan pemuliharaan infrastruktur, bangunan, kemudahan awam, lanskap, pemotongan rumput, loji, janakuasa, pembersihan parit, longkang, bangunan; pembentungan, saluran paip air, serta pengairan dan saliran.

 “Aktiviti berkaitan dengan rangkaian dan perkhidmatan sokongan kepada sektor pembinaan dan penyelenggaraan yang meliputi aktiviti kuari batu dan pasir, kilang simen dan klinker, pemotongan bukit dan penimbusan tanah, kedai ‘hardware’, pengangkutan bahan binaan dan sebagainya turut dibenarkan beroperasi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam kerajaan Sabah memutuskan untuk melaksanakan PKPB secara berperingka, khususnya pembukaan sektor ekonomi negeri.

Beliau berkata kerajaan negeri juga memutuskan bahawa kebenaran beroperasi sektor pembinaan dan penyelanggaran secara bersyarat yang diluluskan sebelum ini di tarik balik dan terbatal dengan sendirinya.

Mohd Shafie berkata aktiviti perhutanan huluan (upstream) yang melibatkan peladangan hutan, restorasi hutan, silvikultur, pengeluaran dan pengangkutan hasil-hasil hutan dan lain-lain aktiviti perhutanan huluan (upstream) dibenarkan beroperasi.

“Aktiviti perhutanan hiliran (downstream) yang melibatkan kilang papan, kilang venir, kilang papan lapis, kilang perabot, kilang moulding, ‘finger joint’ dan kilang-kilang lain pemprosesan berasaskan kayu juga dibenarkan beroperasi.

“Turut dibenarkan beroperasi rangkaian dan perkhidmatan sokongan terhadap aktiviti huluan dan hiliran perhutanan seperti logistik pengangkutan darat dan laut, gudang, domestik retail serta import dan eksport,” katanya.

BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Info Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *