Penanaman Padi Sabah Perlu Di Perkasakan, Jangan Ulangi Kegagalan Di Kota Belud

BELURAN: Kerajaan tidak akan mengulangi kesilapan pemerintahan lampau dalam membangunkan daerah Kota Belud sebagai jelapang padi yang menelan perbelanjaan sehingga hampir RM400 juta, namun gagal mencapai sasaran apabila hasil padi yang dikeluarkan tidak seberapa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, berikutan itu, Lembaga Padi Sabah akan diwujudkan semula bagi mentadbir urus penanaman padi di seluruh negeri secara lebih teratur dan bersistematik untuk meningkatkan pengeluaran dan memberi pendapat kepada kerajaan serta rakyat.

Jelas beliau, pelaburan sebanyak RM400 juta di Kota Belud cukup banyak tetapi disebabkan pelaksanaannya tidak berstruktur akhirnya pelaburan berkenaan tidak mendatangkan hasil yang diharapkan.

“Buat masa ini struktur dia tidak begitu tersusun ada Koperasi Pembangunan Desa (KPD), ada agensi, saya sudah minta supaya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan hidupkan balik Lembaga Padi Sabah.

“Kita akan pastikan untuk sebagai satu badan menyusun atur dan menguruskan secara betul penanaman padi di seluruh negeri Sabah dan badan ini akan tadbir urus di mana mahu dizonkan, urusan kewangan, kepakaran yang perlu kita tingkatkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau kilang pemprosesan beras dan sawah padi Terusan Sapi, Telupid di sini hari ini.

Kawasan Sawah Padi Terusan Sapi, Telupid.

Yang turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Junz Wong; Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN), Datuk Safar Untong; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk, Abdul Rahman Kongkawang; Penasihat Pertanian Negara, Datuk Yap Yun Fook serta pegawai-pegawai agensi kerajaan berkaitan.

Mohd. Shafe berkata, kesuburan tanah di Sabah sepatutnya menjadikan negeri ini sebagai pendahulu dalam sektor pertanian seperti penanaman padi yang bukan sahaja untuk bekalan tempatan tetapi untuk dieksport.

Justeru tegasnya, projek penanaman padi di Kota Belud perlu dilihat kembali selepas ini untuk mencari pendekatan baharu yang boleh diaplikasikan bagi memastikan pengeluaran padi di situ meningkat selari dengan potensinya.

“Kita akan tengok balik penanaman padi di Kota Belud yang memerlukan beberapa pendekatan baharu untuk membolehkan kita sudah belanja agak banyak dalam lingkungan RM400 juta di Kota Belud tapi hasil dia tidak ke mana, jadi kita akan membuat satu penelitian secara mendalam Kementerian Pertanian dan Industri Makanan saya sudah minta mereka untuk meneliti secara mendalam dan kita zonkan mana tempat bersesuaian untuk tanam padi,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Shafie berkata, daripada segi dasar, Kerajaan Sabah telah memperuntukkan sebanyak RM5 juta tahun lalu untuk memberi sokongan kewangan kepada golongan penanam padi termasuk padi bukit meningkatkan pengeluaran mereka bagi menjana pendapatan lebih.

Katanya, kerajaan melalui Pelan Tindakan Pertanian Sabah 2021-2030 juga akan memastikan keseluruhan sektor pertanian negeri serta penanam padi dapat dibantu daripada segi kualiti, peningkatan hasil serta pemasaran.- BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *