Dua Pemburu Haram Dicekup

Suspek pemburu haram ditahan ketika berburu di kawasan hutan simpan di Ladang Sabah Sofwood, Dumpas, dekat sini, awal pagi semalam. – Gambar IPD TAWAU

TAWAU: Polis menahan dua lelaki selepas disyaki terbabit dengan kegiatan pemburuan haram di kawasan hutan simpan sekitar daerah ini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata suspek masing-masing berusia 40 dan 52 tahun itu ditahan di kawasan Ladang Sabah Sofwood, Dumpas, dekat sini antara jam 2.30 hingga 3.30 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Unit Penguatkuasaan Perhutanan yang menjalankan rondaan dan pemeriksaan di kawasan itu terserempak dengan suspek menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Seorang daripada dua suspek pemburu haram ditahan ketika berburu di kawasan hutan simpan di Ladang Sabah Sofwood, Dumpas, dekat sini, awal pagi semalam. – Gambar IPD TAWAU

“Kedua-dua suspek bertindak melarikan sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa namun salah seorang daripadanya berjaya ditangkap manakala seorang lagi meloloskan diri.

“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan membawa suspek pertama ke balai polis, anggota penguatkuasa sekali lagi terserempak dengan suspek kedua sebelum tangkapan dibuat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Peter berkata, hasil pemeriksaan menemukan dua laras senapang dan senjata api jenis bakakuk buatan sendiri bersama 12 butir peluru hidup jenis Buck Shot milik kedua-dua suspek.

Turut dirampas dua buah motosikal bersama beberapa perlatan memburu termasuk dua bilah parang panjang, pisau, walkie talkie, lampu suluh, bateri, dan telefon bimbit.

“Kedua-dua suspek yang berasal dari Kampung Merotai Besar, mengaku terbabit dalam aktiviti pemburuan haram sekitar daerah di sini, kemudiannya di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya. – BH Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *