ARMADA Sabah Tidak Setuju Kerjasama Dengan PH

KUALA LUMPUR: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Sabah tidak menyokong pendirian rasmi sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), ARMADA Pusat yang memutuskan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Ketuanya, Isquzawan Israq Arsit, berkata pihaknya menolak sekeras-kerasnya pendirian ARMADA Pusat kerana ramai ketua ARMADA bahagian mendakwa tidak diberitahu mengenai kerjasama itu.

“Pendirian kita ialah tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh ARMADA Pusat kerana ianya bukan diputuskan dalam Mesyuarat Khas Exco ARMADA.

“Sebaliknya, mesyuarat khas yang dinyatakan dalam kenyataan media ARMADA BERSATU sebelum ini sebenarnya adalah Mesyuarat Penyelarasan Agihan Bantuan ARMADA sempena Ramadan 2020 dan perjumpaan bersama Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad”, katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Petang tadi, ARMADA dilaporkan menyokong parti itu kembali bekerjasama dengan PH.

ARMADA dipetik menegaskan, pergerakan itu menyokong BERSATU untuk tidak bekerjasama dengan UMNO.

Mengulas lanjut, Isquzawan berkata, ARMADA Sabah menyokong penuh kepemimpinan Presiden BERSATU yang juga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pendirian ARMADA Sabah adalah jelas bahawa kita tetap bersama Presiden BERSATU. Dengan perkembangan politik semasa, kita tidak akan bermusuh dengan mana-mana parti yang menyokong PN (Perikatan Nasional),” katanya.

Sementara itu, Ketua ARMADA Terengganu, Syaiful Irfan Anang, berkata pihaknya turut menolak kerjasama dengan PH dan menyokong kepemimpinan Presiden BERSATU.

“Kita tidak setuju dengan keputusan dibuat oleh ARMADA Pusat kerana ia diputuskan dalam Mesyuarat Khas Exco ARMADA.

“ARMADA Terengganu juga tetap menyokong penuh kepemimpinan Muhyiddin sebagai Presiden parti,” katanya.

Sementara itu, Ahli BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, pula menggesa semua pihak untuk berpegang kepada keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU pada 23 Februari lalu, untuk membawa keluar parti daripada PH.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, keputusan itu kekal sehingga ada perkembangan sebaliknya daripada MPT parti itu.

“Mengikut Fasal 13 perlembagaan BERSATU, MPT adalah badan tertinggi parti di luar mesyuarat agung.

“Oleh itu, keputusan berkenaan ‘mengikat’ ke atas seluruh parti dan kekal sehingga ada keputusan sebaliknya,” katanya.

Wan Ahmad Fayhsal berharap semua ahli parti menghormati keputusan MPT, tegas berdisiplin, menjaga kerukunan dan perpaduan bagi memperkukuhkan keluarga besar BERSATU terutama ketika negara masih berdepan dengan ancaman COVID-19.- Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *