Kanak-Kanak Hidap Penyakit Kawasaki, Mungkin Berkait COVID-19

Seorang ibu dari Lancashire, yang tidak mahu disebutkan namanya, berkongsi gambar mengejutkan ruam ungu merah di seluruh tubuh anak perempuannya yang berusia dua tahun mungkin berkait dengan COVID-19.

NEW YORK: Lima belas kanak-kanak dimasukkan ke hospital di New York kerana menghidap penyakit radang yang jarang berlaku dan mungkin berkait dengan COVID-19, menurut pegawai, semalam.

Penyakit Kawasaki adalah masalah kesihatan misteri, terutama dalam kalangan kanak-kanak berumur hingga lima tahun, yang menyebabkan keradangan dinding arteri dan pesakit mengalami demam, kulit mengelupas serta sakit sendi.

Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain mengeluarkan amaran pertama, bulan lalu, mengenai peningkatan kecil bilangan kanak-kanak dijangkiti COVID-19 yang ‘mempunyai ciri bertindih dengan sindrom kejutan toksik dan penyakit Kawasaki tidak tipikal’.

Perancis turut melaporkan beberapa kes.

Walaupun menakutkan, kebanyakan pesakit terbabit pulih tanpa isu yang serius.

Jabatan Kesihatan Kerajaan New York berkata, pihaknya telah mengenal pasti 15 kes kanak-kanak yang mempunyai simptom penyakit Kawasaki.

“Itu sudah cukup untuk menyebabkan kami bimbang,” kata Datuk Bandar, Bill de Blasio, kepada pemberita.

Menurut Jabatan Kesihatan itu dalam satu kenyataan, empat daripada pesakit terbabit disahkan positif COVID-19.

Enam daripada 10 kanak-kanak yang negatif wabak itu didapati mempunyai antibodi, sekali gus mencadangkan mereka pernah dijangkiti COVID-19.

Lebih separuh daripada pesakit berkenaan memerlukan sokongan tekanan darah, manakala lima menggunakan alat bantuan pernafasan mekanikal.

Bagaimanapun, tiada kematian dilaporkan dalam kalangan kes terbabit, kata jabatan itu.

Jabatan itu memaklumkan, kurang daripada separuh pesakit berkenaan dilaporkan mempunyai gejala pernafasan, manakala kesemua mereka demam dan lebih separuh mengalami ruam, sakit perut, muntah atau cirit-birit.

Pesuruhjaya Kesihatan New York City, Oxiris Barbot, berkata beberapa kes juga dikenal pasti di Boston dan Philadelphia. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *