Pesawat Bawa Peralatan Perubatan Covid-19 Terhempas, Enam Dipercayai Maut

Pesawat itu dikatakan membawa peralatan perubatan ke bandar dan bersama di dalam pesawat berkenaan warga Kenya dan Somalia. – Gambar Twitter/Harunmaruf

MOGADISHU: Sebuah pesawat yang membawa bekalan bantuan perubatan COVID-19 terhempas di Somalia pada Isnin.

Menurut laporan berita tempatan, pesawat yang dikendalikan East African Express Airways itu terhempas di bandar Bardale.

Kejadian menyebabkan kesemua enam penumpang dan kru meninggal dunia, kata Menteri Pengangkutan Somalia Mohamed Salad kepada Reuters.

Pesawat yang membawa warga Kenya dan Somalia itu dikatakan sedang dalam perjalanan menghantar peralatan perubatan ke bandar.

Enam yang maut ialah juruterbang, pembantu juruterbang, jurutera penerbangan, juruterbang pelatih, serta dua orang yang bekerja untuk syarikat penerbangan.

“Lima mayat berjaya ditemui setakat ini,” kata Mohamed Salad.

Kerajaan Somalia menghantar pasukan untuk menyiasat dan akan tiba pada Selasa selain menyambut baik mana-mana bantuan antarabangsa.

Beliau menolak untuk membuat spekulasi mengenai punca nahas namun bekas menteri pertahanan mendakwa saksi di lapangan terbang melihat pesawat itu terhempas setelah ditembak.

Abdirashid Abdullahi Mohamed mendakwa saksi tersebut melihat pesawat itu yang cuba untuk mendarat pada awalnya terpaksa berpatah balik kerana ada haiwan liar di landasan, namun ia ditembak di sayap pada cubaan kedua untuk mendarat.

Dia turut memberikan gambar yang menunjukkan pesawat itu terbakar, serpihannya tersebar di beberapa kawasan, namun ekor pesawat itu tidak terjejas.

Abdirashid turut memberikan senarai penumpang dengan enam nama, bagaimanapun kesahihan gambar atau nama berkenaan tidak dapat disahkan.- Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *