Majikan Di Sabah Setuju Kerajaan Negeri Tolak PKPB

Sabah mengambil keputusan tidak melaksanakan PKPB dengan membuka semula aktiviti perniagaan.

KOTA KINABALU: Majikan di Sabah selari dengan keputusan kerajaan negeri meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bukannya melonggarkan sekatan ke atas perniagaan di bawah PKPB.

Persatuan Majikan Sabah (SEA) berkata kerajaan negeri mempunyai pemahaman yang lebih baik mengenai iklim ekonominya berbanding kerajaan persekutuan yang mengeluarkan arahan PKPB pada Jumaat lalu.

Sabah, termasuk Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan dan Sarawak bagaimanapun menyatakan keraguan mengenai PKPB, mendorong Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali mengeluarkan amaran bahawa negeri terbabit bertindak tidak bersandarkan punca kuasa yang sah bagi membuka semula ekonomi.

Azmin juga berkata mereka mungkin terdedah kepada tindakan undang-undang daripada pelbagai pihak, khususnya dari pihak industri.

Presiden SEA, Yap Cheen Boon berkata tidak ada pemilik perniagaan yang berniat untuk menyaman kerajaan negeri, sambil menambah penggunaan undang-undang tempatan untuk menutup perniagaan di Sabah tidak semestinya bermakna penolakan untuk mengikuti arahan persekutuan.

Beliau memberitahu FMT, lebih baik perniagaan di Sabah menunggu sehingga fasa ke-4 PKP berakhir pada 12 Mei sebelum menggunakan PKPB yang baru diperkenalkan.

“Sudah ada banyak kekeliruan mengenai pengumuman dan prosedur, dan untuk tiba-tiba menguatkuasakan pembukaan seluruh pasaran dengan pemberitahuan singkat itu perlu berhati-hati,” tambahnya.

Beliau juga bercakap mengenai apa yang disebutnya pusingan-U berhubung isu seperti moratorium bank, perbelanjaan kemasukan ke hospital untuk pekerja, pemeriksaan kesihatan bagi Covid-19 untuk pekerja dan permohonan kelulusan untuk beroperasi.

Beliau berkata lebih baik setiap negeri merumuskan rancangan untuk membuka ekonomi mereka sesuai dengan situasi mereka.

Katanya, perkara itu harus disampaikan dengan jelas kepada perniagaan supaya ia dapat dijalankan tanpa huru-hara seperti yang dilihat di Kuala Lumpur. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *