Guru Dipenjara 10 Bulan Malukan Murid Hingga Bunuh Diri

Potret Kim – Foto Agensi

Seorang guru lelaki di bandar Pohang, dekat sini, dihukum penjara 10 bulan dan lesen mengajarnya digantung selama lima tahun atas kesalahan memalukan seorang murid hingga menyebabkannya membunuh diri.

Hukuman diputuskan Hakim Mahkamah Daerah Daegu Shin Jin Woo pada 26 April lalu selepas ibu bapa pelajar malang itu membuat laporan dan pendakwaan ke atas guru berkenaan.

Kelibat terakhir Kim yang dirakam CCTV sekolahnya. – Foto Agensi

“Tertuduh bersalah kerana melakukan penderaan psikologi ke atas pelajar dan menyebabkan dia membunuh diri. Hukuman ini juga mengambil kira tertuduh yang tidak menunjukkan minat untuk menyelesaikan masalah dengan keluarga mangsa,” kata Hakim Shin.

Oddity Central melaporkan kematian tragik pelajar dikenali Kim disiasat sejurus kejadian pada 25 Mac 2019 dan menjelang Ogos 2019, ibu bapanya mengemukakan aduan untuk pendakwaan berdasarkan bukti yang tidak didedahkan.

Hukuman ke atas guru mengajar subjek etika itu diperdebatkan di media sosial Korea Selatan dengan ada antaranya mengutuk tindakan guru terbabit sebagai buli manakala yang lain menyuarakan kebimbangan ia mungkin menyebabkan guru lain takut untuk lebih tegas dengan pelajar masing-masing.

Dilaporkan kejadian berlaku apabila Kim yang berada di gred sembilan dimalukan di hadapan rakan sekelasnya selepas guru berkenaan menangkapnya membaca novel ringan karya penulis Jepun yang mempunyai ilustrasi perempuan berbikini.

Siasatan lanjut mendapati guru itu sendiri menyuruh anak muridnya membawa bahan bacaan pilihan untuk dibaca dalam kelas, namun dia mempunyai masalah dengan pilihan bahan Kim.- Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *