Covid-19: Tiada Kes Baharu Di Sabah, 4 Lagi Pulih Hari Ini

KOTA KINABALU: Kes Covid-19 aktif yang masih menerima rawatan di Sabah menurun empat kes lagi hari ini iaitu sebanyak 37 berbanding 41, semalam.

Ia berikutan tiada pertambahan kes baharu, di negeri ini, pada hari ini selain empat lagi pesakit telah pulih dan dibenarkan pulang.

Jumlah keseluruhan kes Covid-19 yang direkodkan di Sabah setakat ini kekal dengan 316 kes manakala jumlah pesakit yang telah sembuh dan discaj ialah seramai 275 orang.

Selain itu, Kota Belud kembali ke zon hijau bagi kategori kes aktif selepas seorang pesakit dari daerah itu telah pulih, hari ini.

Statistik terbaharu itu disiarkan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung dalam Facebook beliau, sebentar tadi.

Dalam perkembangan sama tiada kematian dicatatkan di negeri ini, hari ini, dengan jumlah korban akibat jangkitan wabak itu kekal empat orang iaitu dua di Kota Kinabalu dan masing-masing satu di Tawau serta Tambunan.

Sabah juga kekal negeri keenam tertinggi mencatatkan Covid-19 di belakang Selangor yang mencatat sebanyak 1,555, Kuala Lumpur (1,356), Johor (667), Negeri Sembilan (598), dan Sarawak (523).- Berita Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *