PKPB Diwartakan, Semua Negeri Perlu Patuh – Ismail Sabri

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang mula dilaksanakan hari ini sudah diwartakan, sekali gus semua peraturan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini terbatal secara automatik.

Justeru, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata semua pihak di seluruh negara sama ada di negeri dan daerah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti diwarta mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih lagi berkuatkuasa.

Katanya, apabila PKPB atau PKP 5 ini sudah diwartakan maka PKP 4 yang diwartakan sebelum ini terbatal kerana pewartaan itu turut menyatakan tarikh permulaan dan penamatannya.

“Oleh itu PKP 4 yang diwartakan terbatal kerana kita sudah warta PKP 5, dan tidak timbul isu ada pihak tidak mahu mematuhinya kerana itu adalah salah di sisi undang-undang,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri mengenai PKP di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri menegaskan, ramai yang terkeliru seolah-olah Akta 342 tidak lagi berkuatkuasa apabila PKPB dilaksanakan, sedangkan ia sama sahaja dengan PKP yang lain.

“Hukuman tetap sama iaitu kepada mereka yang ingkar dikompaun RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali. Jadi statusnya sama sahaja walaupun nama bertukar kerana ia tetap PKP walaupun ada tambahan B,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, bagi pemilik premis yang gagal mematuhi SOP boleh dikenakan tindakan sama dan boleh ditutup operasi.

“Saya ingin ingatkan semua peraturan ini diwartakan dan jika diwartakan, maka peraturan diwartakan sebelum ini terbatal.

“Sebagai contoh PKP fasa empat kita wartakan misalnya satu kereta hanya boleh dinaiki dua orang, tetapi PKPB dilaksanakan kita wartakan membolehkan empat orang dalam satu kereta. Maknanya, peraturan PKP sebelum ini terbatal dan kita menggunakan peraturan baru,” katanya.

Beliau berkata, jika ada pihak yang masih hendak menggunakan peraturan PKP fasa empat ia adalah salah di sisi undang-undang kerana sudah diganti peraturan baru.

Katanya, fokus penguasaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pihak berkuasa lain menerusi PKPB lebih kepada menguatkuasakan pematuhan SOP.

“Jadi saya harap semua sedar perkara ini dan semua rakyat perlu patuh,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *