MPS Perlu Selesai Segera Masalah Sampah Berlonggok Di Sandakan

SANDAKAN: Penduduk perumahan dan kawasan awam di beberapa lokasi di sini merungut kerana sampah dan sisa buangan dipercayai tidak dikutip sejak tiga hari lalu.

Kawasan itu membabitkan pusat bandar, Batu 4, Bandar Utama, Batu 8 dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Manila.

Difahamkan, kelewatan itu dipercayai susulan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) belum memperbaharui kontrak dengan kontraktor utama, Alam Motivasi yang dilantik untuk mengutip sampah di daerah ini selepas kontrak berakhir pada 1 Mei lalu.

Keadaan itu sekali gus menyebabkan tong sampah bukan saja penuh, malahan turut mengeluarkan bau busuk sehingga mendatangkan rasa kurang selesa kepada penduduk setempat.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Liberal Demokratik (LDP) merangkap Ketua Biro Aduan LDP Sandakan, Robert Chong menjelaskan terdapat sekitar 100 kawasan perumahan, kedai, bangunan, kilang dan tempat awam seperti pasar, kawasan letak kereta dan taman permainan yang terjejas.

Katanya, jika MPS mahu mengambil alih tugas mengutip sampah, ia dikhuatiri hanya akan memburukkan keadaan kerana perlu menanggung kos termasuk menyewa trak serta mengupah pekerja.

“Hasil penyelidikan saya, untuk mengurus pengumpulan sampah, sekurang-kurangnya diperlukan 30 trak sampah dan 200 tenaga kerja.

“Berapa lama proses (pengumpulan sampah) dapat dilakukan untuk seluruh Sandakan? Ini membahayakan kesihatan penduduk dan saya berharap agar semua pihak termasuk wakil rakyat segera menangani isu ini,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *