Video Lelaki Pakistan Terima RM1,000 Adalah Bantuan BPN

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) Bahagian Tawau membuat satu laporan polis berhubung penularan sebuah video menunjukkan seorang lelaki Pakistan mengucapkan terima kasih kepada pimpinan kerajaan selepas menerima bantuan.

Laporan tersebut dibuat Ketuanya, Abdul Salip Ejal di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bagi memberi penjelasan tentang perkara sebenar sebelum video berkenaan disalah erti oleh mana-mana pihak.

Dalam laporannya, Abdul Salip menafikan bantuan RM1,000 yang diterima isteri lelaki tersebut yang merupakan rakyat Sabah adalah daripada Kerajaan Sabah sebaliknya wang itu merupakan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang disediakan Kerajaan Persekutuan.

“Di sini saya ingin memperbetulkan perkara yang sebenar iaitu bantuan diberikan oleh kerajaan negeri adalah berupa barangan makanan sahaja.

“Wang sebanyak RM1,000 yang dimaksudkan adalah Bantuan Prihatin Nasional. Penerima bantuan daripada kerajaan ini adalah isteri kepada warga Pakistan tersebut,” katanya.

Video berdurasi 59 saat itu menunjukkan lelaki berkenaan yang memperkenalkan diri sebagai Sadiq Shah menunjukkan beberapa jenis barangan makanan yang diberikan kerajaan negeri melalui isterinya.

Lelaki tersebut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri, Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Ketua Bahagian Tawau atas sumbangan berkenaan dan turut mengakui menerima bantuan RM1,000.

Bantuan RM1,000 tersebut adalah BPN yang disediakan Kerajaan Persekutuan kepada isi rumah rakyat Malaysia bagi kategori M40 yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Barangan makanan pula adalah bantuan yang disediakan kerajaan negeri kepada semua isi rumah memerlukan di Sabah bagi meringankan beban mereka sepanjang tempoh PKP.

Abdul Salip berkata, beliau berharap laporan itu dapat memperbetulkan keadaan agar masyarakat tidak terkeliru dengan bantuan yang diberikan.

“Oleh itu laporan polis ini dibuat untuk memperbetulkan kenyataan yang tular di media sosial agar masyarakat di luar tidak keliru dengan bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, lelaki Pakistan tersebut dilihat turut hadir ketika membuat laporan untuk memberi penjelasan kepada pihak berkuasa.- BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *