Sokong Petisyen Tukar Mykad

KOTA KINABALU: Rakyat negara ini diseru menyokong gerakan menandatangani petisyen bagi menarik dan menukarkan MyKad sedia ada kepada yang baharu.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, seluruh ahli UPKO akan menandatangani petisyen terbabit seiring perjuangan parti berkenaan berhubung isu penyelewengan dan pemberian kewarganegaraan secara rasuah kepada pendatang asing tanpa izin (Pati) di Sabah.

“Saya difahamkan, petisyen secara atas talian ini dimulakan sekumpulan aktivis di Semenanjung Malaysia yang mendesak kerajaan melaksanakan cadangan mewujudkan kad pengenalan baharu dengan segera.

“Petisyen ini menunjukkan ramai pihak membuka mata terhadap penyelewengan yang berlaku terhadap pemberian kewarganegaraan di negara ini,” katanya di Youtube miliknya kelmarin.

Datuk Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah menegaskan isu berkenaan di Sabah sangat jelas sekiranya dinilai dari segi peningkatan penduduk yang mendadak dan tidak masuk akal.

Menurutnya, pihaknya mendapati mereka mempunyai MyKad yang sah tetapi dibeli dengan harga RM2,000 sehingga RM10,000.

Beliau yang merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah menambah, penukaran kad pengenalan bukan sesuatu perkara baru.

“Negara sudah menukarkan kad pengenalan sekurang-kurangnya empat kali sebelum ini,” katanya.- Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *