Jangkitan Covid-19 Kini Berada Dalam Masyarakat – Pengarah JKNS

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi

KOTA KINABALU: Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Christina Rundi mengingatkan masyarakat di negeri ini bahawa perjuangan menentang Covid-19 belum selesai.

Beliau berkata, masih terlalu awal untuk membuat spekulasi mengenai wabak Covid-19 di Sabah. Ia kerana siasatan dari dalam dan luar negeri menunjukan jangkitan Covid-19 sudah berada dalam masyarakat.

“Malah, ramai yang terjangkit tidak menunjukkan sebarang gejala dan ini memungkinkan penularan berlaku dalam masyarakat tanpa disedari.

“Oleh itu, orang awam diingatkan bahawa jangkitan Covid-19 ini disebabkan oleh virus yang baru dan tidak sepatutnya disamakan dengan penyakit yang sudah diketahui seperti denggi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Katanya, golongan yang berisiko dijangkiti wabak Covid-19 adalah golongan kanak-kanak, warga emas, wanita mengandung, mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi dan golongan yang mempunyai sistem imun yang lemah.

Sehingga kini, sebanyak 315 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah dengan 252 kes yang sudah pulih. Setakat ini, kes kematian di Sabah kekal empat kes dengan dua kes di Kota Kinabalu dan satu kes masing-masing di Tawau dan Tambunan.

Bilangan pesakit Covid-19 yang masih dirawat di hospital seluruh Sabah adalah seramai 59 orang termasuk lapan kes yang dirawat semula. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *