Covid-19: Satu Kes Baharu Di Sabah, 16 Lagi Sembuh Hari Ini

KOTA KINABALU: Selepas beberapa hari tiada pertambahan kes, Sabah hari ini mencatat pertambahan satu kes Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kini sebanyak 316.

Statistik terbaharu yang disiarkan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung, dalam Facebook beliau sebentar tadi.

Sementara itu seramai 16 lagi pesakit jangkitan wabak itu telah sembuh dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh kini 268 orang.

Perkembangan itu juga menjadikan jumlah kes Covid-19 aktif yang masih menerima rawatan di negeri ini menurun 15 kes iaitu sebanyak 44 berbanding 59, semalam.

Dalam perkembangan sama tiada kematian dicatatkan di negeri ini, hari ini, dengan jumlah korban akibat jangkitan wabak itu kekal empat orang iaitu dua di Kota Kinabalu dan masing-masing satu di Tawau serta Tambunan.

Sabah juga kekal negeri keenam tertinggi mencatatkan Covid-19 di belakang Selangor yang mencatat sebanyak 1,529, Kuala Lumpur (1,308), Johor (667), Negeri Sembilan (592), dan Sarawak (523). – Berita Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *