Pembayaran Pengeluaran i-Lestari Bermula Esok – KWSP

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bayaran Pengeluaran i-Akaun yang diluluskan akan dikreditkan ke dalam akaun bank ahli bermula esok sehingga 18 Mei ini.

Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias berkata, ahli akan dimaklumkan melalui kemudahan i-Lestari Online sejurus selepas bayaran dikreditkan ke dalam akaun bank mereka sekiranya akaun mereka adalah aktif dan tidak dibekukan.

Menurutnya, tarikh sebenar wang tersedia dalam akaun bank ahli bagi tujuan pengeluaran adalah tertakluk kepada proses pelepasan bayaran di pihak bank masing-masing, yang mungkin mengambil tempoh satu hingga tiga hari dari tarikh KWSP membuat pindahan.

“Sejak pelancaran i-Lestari pada awal bulan April 2020, kami telah meluluskan lebih 3.51 juta permohonan berjumlah RM1.66 bilion.

“KWSP telah mengadakan perbincangan mendalam dengan bank-bank rakan kongsi sepanjang bulan lalu bagi memastikan sistem dan infrastruktur mereka bersedia untuk menerima dan memproses sejumlah besar deposit pada satu-satu masa.

“Lanjutan daripada perbincangan itu, kami telah bersetuju kaedah terbaik dan paling selamat adalah melalui pindahan dana harian secara berperingkat dari KWSP ke institusi kewangan.

“Insya-ALLAH jika semuanya berjalan lancar, dijangkakan keseluruhan proses ini akan diselesaikan dalam masa dua minggu atau lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alizakri berkata, KWSP memahami keperluan mendesak ahli untuk menggunakan wang bagi melalui waktu mencabar ini walaupun terdapat kekhuatiran pengeluaran i-Lestari akan mengurangkan simpanan persaraan mereka.

“Kami berharap ahli telah berfikir secara mendalam sebelum memutuskan jumlah yang akan dikeluarkan dari Akaun 2 mereka kerana mereka perlu mengimbangi keperluan tunai semasa dengan keperluan untuk memiliki kewangan yang utuh pada masa depan.

“Setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan, kami menggesa ahli untuk membuat janji temu dengan pegawai Khidmat Nasihat Persaraan yang akan membantu mengkaji dan merangka semula rancangan persaraan mereka,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kemudahan pengeluaran caruman akaun dua KWSP berkuat kuasa 1 April lalu bagi membantu meringankan beban ditanggung rakyat.

Inisiatif pengeluaran menerusi i-Lestari itu tertakluk kepada jumlah RM500 sebulan selama 12 bulan membabitkan pencarum bawah usia 55 tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *