PKP: Sekolah Tidak Dibuka Isnin Ini – KPM

Gambar Hiasan

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan dakwaan sekolah akan mula dibuka Isnin ini kepada pelajar yang akan mengambil Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Vokasional Malaysia.

Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Habibah Abdul Rahim, berkata pihaknya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pembukaan sekolah seperti yang dilaporkan.

“(Kenyataan itu) bukan daripada KPM,” katanya ringkas kepada BH ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, menurut Unit Komunikasi Korporat KPM, sekiranya sekolah akan dibuka semula pihak kementerian akan memaklumkan mengenai perkara itu dua minggu lebih awal.

“Seperti yang dimaklumkan YBMK (Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin) sebelum ini, sesi persekolahan akan dimaklumkan dua minggu lebih awal sebelum dibuka, bukannya Isnin depan.

“KPM juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sekolah akan mula dibuka selepas kenyataan yang dibuat oleh pihak menteri tempoh hari,” katanya.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan beberapa sektor perniagaan dan sekolah akan mula dibuka bermula Isnin ini selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Terdahulu, pada 15 April lalu Mohd Radzi mengadakan sidang media khas mengenai Pelan Tindakan Persekolahan Pasca PKP semasa penularan COVID-19 di negara ini.

Mohd Radzi dalam ucapannya berkata, keputusan untuk membuka semula sei persekolahan itu hanya akan dibuat sekiranya pihaknya benar-benar yakin keadaan negara ini sudah pulih.

“Apabila sekolah dibuka semula, semua aspek keselamatan, kebersihan dan pengawalan penularan jangkitan termasuklah amalan penjarakan sosial akan diberi keutamaan.

“KPM sudah menyediakan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Pasca PKP yang mesti dirujuk oleh pihak sekolah dan ibu bapa bagi memastikan pengurusan sekolah berjalan lancar serta sesi Pengajaran dan Pembelajaran berlaku dalam keadaan selamat,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *